LEMBAH BUJANG

_DSC9027

Lembah Bujang merupakan kawasan yang dikenali sebagai Sungai Batu, proses cari gali telah mendedahkan sisa jeti, tapak peleburan besi, dan binaan batu-bata yang bertarikh 110SM, menjadikannya binaan manusia tertua yang pernah direkodkan di Asia Tenggara. Binaan Chandi menunjukkan sejak awal abad Masihi hingga 20 Masihi, Lembah Bujang mempunyai perhubungan yang sangat intim dengan aktiviti perdagangan maritim di antara beberapa negara di Asia, China, Asia Barat dan India.

Perkembangan pelabuhan entrepotnya sering dikaitkan dengan kerajaan Thalassocracy Srivijaya. Penemuan tapak tanah bersejarah dengan beratus ribu pecahan seramik, kaca dan manik sama ada dari China, Asia Barat, India atau tempatan, runtuhan candi pengabdian terhadap Buddha atau Hindu, struktur bandar atau pelabuhan yang tenggelam, artifak budaya seperti patung-patung atau arca, batu bersurat dan peralatan yang berkaitan dengan kehidupan masyarakat telah menobatkan gugusan ini sebagai tempat terasasnya negara pesisiran Kedah purba.

Sungai Mas dan koridor Sungai Muda merupakan tapak tanah sejarah yang merentasi zaman prasejarah kebudayaan Hoabinhian, protosejarah dan sejarah. Walaupun penyelidikannya telah menjangkau seratus lima puluh tahun, tetapi usaha membongkar, menyingkap dan merekonstruksi sejarah, peranan dan perkembangannya masih menjadi perdebatan dan belum menemui titik pertemuan.


_DSC9029

Status dan potensinya yang diperakui oleh peserta projek Intra-ASEAN : Ekskavasi Arkeologi dan Konservasi Lembah Bujang, Kedah 1985, serta diperakui di dalam Malaysian Book of Records kerana memiliki berpuluh ribu manik purba dan salah satu lokasi pembuat manik di kawasan Indo-Pasifik menjadikan ia tapak yang komprehensif. Pelabuhan yang sangat diperlukan dan memiliki laluan transpeninsular yang menghubungkan Kedah Purba – Langkasuka (Patani) meletakkan ia sebagai bandar pelabuhan yang terbilang.


_DSC9035

Pemusnahan candi

Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel meminta Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) mengisytiharkan Lembah Bujang sebagai tapak warisan dunia berikutan pemusnahan candi nombor 11 oleh syarikat pemaju, Bandar Saujana Sdn Bhd (Nombor pendaftaran: 291442-T)

Menurut pengurus projek, Saw Guan Keat, semakan tanah di Pejabat Tanah Kedah telah dilakukan sebanyak dua kali, iaitu pada 14 Januari 2013 (sebelum pembelian lapan lot tanah daripada pemilik lama yang juga merupakan syarikat pemaju perumahan), dan pada 30 Julai. Kedua-dua semakan menunjukkan tanah tarbabit tidak terikat dengan apa-apa. Pembelian tanah dilakukan dalam bulan Februari 2013.Menurut Saw lagi, pelan pembangunan projek daripada syarikat pemaju sebelum ini telah diluluskan olehMajlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP) dan Exco Negeri di antara tahun 1994 dan 1995.

Kerajaan Negeri telah mengambil tindakan dengan mengarahkan supaya syarikat berkenaan menghentikan kerja-kerja pembersihan tersebut.

Menurut Menteri Besar Kedah, Dato’ Mukhriz Mahathir, kerajaan negeri akan menghantar dosier kepada UNESCO untuk menyenaraikan Lembah Bujang sebagai tapak warisan dunia di penghujung tahun 2014. Pentarikhan karbon untuk menentukan usia peninggalan di tapak terbabit merupakan salah satu kriteria penting yang perlu diselesaikan sebelum menghantar dosier berserta dengan kajian ilmiah terkini mengenai Lembah Bujang.

_DSC9040

Tapak arkeologi baru

Satu kajian mendapati, sebuah tapak arkeologi yang terletak di Sungai Batu, mendapati batu-batuan yang telah ditinggalkan semenjak tahun 110 M. Satu lagi batuan yang lama, dipercayai sekitar 2,500 tahun dahulu setanding Indus di Pakistan, Manakala, Angkor Wat dan Borobudur pula dibina pada abad ke-7 dan ke-8. Tapak ini menjadi tapak candi paling tua di Asia Tenggara.

Ramai pelancong yang datang ke Lembah Bujang tertarik dengan tinggalan sejarah di tapak arkeologi atau carigali seperti runtuhan candi, struktur bandar dan pelabuhan terpendam, ratusan ribu pecahan seramik, kaca dan manik dari China, Asia Barat atau Tanah Arab serta dari India, patung-patung dan arca, batu bersurat serta peralatan yang berkaitan dengan kehidupan masyarakat kuno. Penemuan semula semua artifak sejarah ini telah membuktikan bahawa telah wujudnya sebuah petempatan dan kerajaan pada masa yang lampau di Lembah Bujang.

Kawasan Lembah Bujang pernah dikaitkan dengan Kerajaan Kedah Tua. Kerajaan Kedah Tua dikatakan bermula dengan pembukaan petempatan di Lembah Bujang.

Nama Lembah Bujang adalah merujuk kepada perkataan Sanskrit iaitu nama pangkal “Bujang” atau “Bhujangga” yang bermaksud ular atau naga yang melambangkan kemakmuran sesuatu tempat. Kemakmuran Lembah Bujang telah menarik minat ramai pedagang, terutama daripada India, China dan Arab untuk singgah di sini. Manakala perkataan “Bhujangga” diambil daripada perkataan asal iaitu “Phujangga” yang membawa maksud golongan cerdik pandai atau “Brahmin” di dalam sistem kasta Hindu. Dengan erti kata lain, nama Lembah Bujang diambil daripada perkataan Sanskrit yang mempunyai pengaruh Hindu – Buddha.

_DSC9058

Lembah bujang berkembang sebagai sebuah petempatan dan pelabuhan kerana mempunyai ciri-ciri yang istimewa. Kebiasaannya, sesebuah tempat atau kawasan dipilih sebagai petempatan adalah berdasarkan beberapa kriteria. Antaranya ialah mudah didatangi kerana kemudahan pengangkutan contohnya sungai dan jalan darat yang baik, terlindung daripada bencana semulajadi dan serangan lanun serta bekalan makanan yang mudah didapati.

Keadaan muka bumi Lembah Bujang sangat sesuai sebagai sebuah petempatan kerana mempunyai pantai dan tebing di sepanjang Sungai Merbok yang mudah dimudiki, jalan air semulajadi di sepanjang Sungai Muda dan cerun bukit yang membolehkan pedagang berlindung. Kemudahan jalan air ini dikatakan menarik minat pedagang-pedagang untuk singgah di Lembah Bujang. Pedagang-pedagang terutamanya dari China akan menggunakan jalan air ini sebagai jalan pintas untuk pergi ke pelabuhan kerajaan-kerajaan lain seperti Langkasuka dan Srivijaya. Selain itu, terdapat juga faktor-faktor lain yang menjadikan Lembah Bujang sebagai tempat yang penting pada abad ke-4 hingga abad ke-11. Antaranya ialah pedagangan yang wujud antara China dengan India.

_DSC9061

Pedagang-pedagang dari kedua-dua negara ini memerlukan tempat untuk mereka bertukar-tukar barang dagangan. Selalunya, tempat yang terletak di pertengahan jalan perdagangan kedua-dua negara akan dipilih sebagai pelaburan pertukaran barang. Lembah Bujang dilihat sebagai tempat yang sesuai di kalangan para pedagang untuk dijadikan pelabuhan untuk bertukar dan menyimpan barang-barang.

Pedagang dari China juga menggunakan Sungai Merbok sebagai jalan pintas untuk bertukar barang di pelabuhan kerajaan-kerajaan lain terutamanya Langkasuka. Sungai Merbok digunakan kerana ia dapat menjimatkan masa untuk cepat sampai ke destinasi perdagangan berbanding dengan penggunaan Selat Melaka dan Laut China Selatan yang memaksa mereka mengelilingi seluruh Kepulauan Melayu.

_DSC9063

Lembah Bujang juga berfungsi sebagai tempat menunggu pertukaran angin monsun di Selat Melaka dan Laut China Selatan. Keadaan laut bergelora serta ribut laut yang berlaku semasa Angin Monsun Barat Daya bertiup di Selat Melaka dan Angin Monsun Timur Laut di Laut China Selatan memaksa pedagang-pedagang mencari tempat untuk berlindung dan Lembah Bujang merupakan tempat yang sesuai untuk pedagang-pedagang berlindung.

Para pedagang juga turut berdagang dengan penduduk-penduduk tempatan di sekitar Lembah Bujang. Menurut H.G Quarith Wales, kawasan Lembah Bujang memang telah sedia didiami oleh masyarakat pribumi yang terdiri daripada Orang Asli dan mengamalkan sistem ekonomi sara diri bergantung kepada pertanian dan hasil hutan seperti damar, rotan dan kayu-kayan.

_DSC9066

Barang-barang ini sangat diperlukan oleh para pedagang untuk perdagangan mereka, manakala masyarakat tempatan memerlukan barangan seperti kain, rempah, pinggan mangkuk, tembikar, barang pertukangan untuk keperluan harian mereka.

Masyarakat Asli ini menganuti fahaman animisme dan mudah menerima nilai-nilai baru. Ini memudahkan para pedagang yang membawa bersama mubaligh-mubaligh bagi mengembangkan ajaran agama masing-masing, sebagai contoh Pedagang India telah berjaya mengembangkan agama Hindu dan Buddha pada abad ke-5 di Lembah Bujang. Lembah Bujang seterusnya berkembang menjadi pusat penyebaran agama Hindu – Buddha yang terkenal kerana sikap terbuka penduduknya dan tiada langsung menerima penentangan daripada masyarakat tempatan.

_DSC9069

Selain itu, Lembah Bujang juga berkembang sebagai petempatan dan pelaburan disebabkan oleh fungsi Gunung Jerai. Kedudukan Gunung Jerai yang merupakan gunung tertinggi di Barat Semenanjung Tanah Melayu menjadikan kawasan Lembah Bujang sebagai tempat penting.

Pedagang-pedagang telah menjadikan Gunung Jerai sebagai petunjuk arah dan panduan untuk mengelakan mereka sesat terutama pada waktu malam. Puncak Gunung Jerai dapat dilihat dengan jelas dari lautan.Bagi pedagang dari India pula tertarik dengan keadaan berdekatan dengan Gunung Jerai terutama Lembah Bujang kerana mempunyai banyak air terjun dan subur untuk pertanian. Menurut ajaran agama Hindu, tempat tinggi seperti Kaki Gunung Jerai adalah tempat suci. Oleh itu, mereka memilih Lembah Bujang untuk mengembangkan Agama Hindu.

_DSC9082

Abad ke-4 hingga abad ke-11 merupakan zaman kegemilangan Lembah Bujang. Lembah Bujang telah muncul sebagai sebuah pusat perdagangan terpenting di antara Laut Mediteranean dan China. Lembah Bujang pernah berada di bawah naungan Kerajaan Srivijaya. Ini membantu Lembah Bujang menjadi sebuah pelabuhan yang pesat.

Ramai pedagang yang singgah di sini untuk berdagang dan bertukar barang. Pedagang-pedagang China mengenali Kedah Tua atau Lembah Bujang sebagai “Yeh-po-ti” dan “Chieh Cha”.

Pedagang India pula menggelarkan Lembah Bujang sebagai “Kataha”, “Katahanagara”, “Kidaram”, “Kadaram” dan “Kalagam” manakala pedagang dari Arab mengenalinya sebagai “Kalah” atau “Qalha”. Lembah Bujang juga terdapat di dalam catatan dan sumber bertulis Barat. Lembah Bujang dalam catatan Barat digelar sebagai “Quedah”, “Quedaram”, “Kheddah”, “Gedda” dan sebagainya.

_DSC9090

Peninggalan Agama Hindu – Buddha yang ditemui di Lembah Bujang merupakan kesan daripada proses kemasukan agama Hindu – Buddha melalui perdagangan. Ia juga menunjukkan bahawa “Proses Penghinduan” atau “Indianisasi” berlaku dengan ketaranya di utara Tanah Melayu.

Lamb (1959) telah mengemukakan beberapa peringkat perkembangan kebudayaan di Lembah Bujang dan kawasan sekitarnya.


_DSC9095

  1. Peringkat Perkembangan Awal Pengaruh Buddha.
    Peringkat ini bermula pada abad ke-4. Kawasannya meliputi Bukit Meriam, Bukit Choras dan sekitar tepi pantai. Agama Buddha di bawa masuk melalui aktiviti perdagangan. Banyak candi dibina dan ditemui di kawasan-kawasan ini.
  • Peringkat Kegemilangan Kerajaan Srivijaya.
    Pada abad ke-7 hingga abad ke-9, Lembah Bujang berada di bawah naungan Kerajaan Srivijaya. Lembah Bujang turut berkembang sebagai pusat perdagangan dan perkembangan agama Hindu di nusantara kerana kedudukannya yang berdekatan dengan Kerajaan Srivijaya.

 

  • Peringkat Pengkalan Bujang.
    Peringkat ini merangkumi abad ke-10 hingga abad ke-14. Lembah Bujang telah mencapai taraf pelaburan entrepot. Agama Hindu-Buddha telah berkembang ke kawasan Matang Pasir, Merbok, Batu Lintang dan Tikam Batu.
  • Peringkat Kuala Muda.
    Peringkat ini berlaku pada abad ke 14. Perubahan muara Sungai Muda telah menyebabkan perkembangan kebudayaan semakin malap. Candi-candi banyak dibina di kawasan pedalaman.

_DSC9099

Ahli-ahli sejarah lain pula mengatakan agama Hindu-Buddha dibawa masuk ke Lembah Bujang melalui tiga tahap. Tahap pertama ialah tahap Buddha awal. Ia berlangsung dari abad ke-4 hingga abad ke-5. Mubaligh-mubaligh agama Buddha telah masuk untuk berdagang bersama pedagang-pedagang India.

Tahap kedua ialah tahap Hindu iaitu penganut Dewa Siva. Tahap ini berlaku dari abad ke-6 hingga abad ke-8. Pada masa ini, Kerajaan Srivijaya ialah pusat penyebaran agama Hindu yang terkenal. Ia sekaligus dibawa ke Lembah Bujang melalui aktiviti penaklukan, perkahwinan dan hubungan diplomatik. Pada masa itu, Lembah Bujang masih berada di bawah naungan Kerajaan Srivijaya. Lembah Bujang seterusnya menjadi pusat agama Hindu menggantikan Srivijaya.


_DSC9100

Tahap yang terakhir ialah tahap Buddha aliran Mahayana. Ia bermula pada abad ke-9 hingga abad ke-14. Pada masa ini, penduduk tempatan telah berkemahiran membina candi dan menguasai tulisan India terutamanya tulisan “Pallawa”.

Pengaruh Lembah Bujang mula merosot apabila agama Islam dibawa ke Tanah Melayu oleh pedagang-pedagang Arab dan kemunculan beberapa pelaburan baru seperti Melaka, Acheh, Singapura dan sebagainya. Penduduk sekitar Lembah Bujang mula menganut agama Islam dan menghapuskan bukti-bukti peninggalan agama Hindu-Buddha.

Selain itu, perubahan muara Sungai Muda dan sungai-sungai berdekatan yang semakin cetek menyebabkan pedagang beralih ke pusat perdagangan lain.


_DSC9106

Penulisan sejarah di Kedah Tua amat bergantung kepada peninggalan-peninggalan arkeologi di Lembah Bujang. Proses carigali adalah salah satu kaedah arkeologi. Penyelidikan terhadap arkeologi di Lembah Bujang telah dimulakan pada sekitar tahun 1840an oleh Kolonel James Low. Penemuan ini menarik minat pengkaji-pengkaji lain untuk membongkar sejarah Kedah Tua.

Di sekitar Lembah Bujang sehingga hari ini, sejumlah 41 buah tapak arkeologi atau Tapak Tanah Bersejarah telah dikenalpasti.

Tapak arkeologi atau Tapak Tanah Bersejarah tadi mengandungi pelbagai tinggalan sejarah, seperti struktur atau jumpaan artifak sama ada berkaitan dengan perdagangan atau yang berkaitan dengan artifak keagamaan atau struktur bangunan candi.

Artifak perdagangan terdiri daripada pecahan seramik tembikar tanah, tembikar batu, porselin, kaca, manik serta peralatan yang digunakan oleh masyarakat kuno. Artifak keagamaan pula terdiri daripada candi, patung-patung dan arca.


_DSC9108

Kebanyakan barang-barang yang ditemui ini dibuat daripada tanah liat. Bahan binaan untuk candi pula terdiri daripada batu bata, batu sungai, mineral laterit dan batu granit.

Terdapat beberapa candi yang terkenal di Lembah Bujang yang telah ditemui, antaranya ialah Candi Bukit Batu Pahat (Tapak 8), Candi Kampung Pangkalan Bujang (Tapak 19,21 dan 22), Candi Estet Sungai Batu (tapak 5 dan 11/3), Candi Kampung Pendiat (Tapak 16), Candi Kampung Permatang Pasir (Tapak 31) dan Candi Kampung Bendang Dalam (Tapak 50).


_DSC9109


_DSC9112


_DSC9113


_DSC9117


_DSC9120


IMG-20151127-WA0012

Candi-candi ini menjadi bukti bahawa Lembah Bujang pernah menjadi pusat penyebaran agama Hindu suatu ketika dahulu. Walau bagaimanapun, sebahagian daripadanya telah musnah dan struktur asalnya tidak dapat dibentuk semula daripada bencana alam seperti banjir, hakisan, Perang Dunia II ataupun dimusnahkan oleh penduduk tempatan. Namun begitu, candi-candi ini tetap menjadi tarikan utama pelancong dari dalam dan luar negara untuk mengunjungi Lembah Bujang.


IMG-20151127-WA0014

Artikel

  • Wikipedia
  • memori kedah