CERITA DARI AQSA 1…Yang Jauh

pict17


SETAHUN yang lalu, sebaik-baik selesai mengerjakan haji, aku berdoa bersungguh-sungguh:

“Ya Allah! Hamba-Mu ini amat ingin ke Masjid Al Aqsa. Hamba-Mu ini benar-benar mengharapkan limpah rahmat-Mu untuk menemui jalan dan caranya.”

Kata orang, apa sahaja yang didoakan depan Kaabah akan cepat dimakbulkan Allah. Semasa berdoa aku bukan tidak yakin dengan kata orang. Tetapi aku perlu mengukur baju di badan sendiri. Aku bukan orang senang. Untuk menunaikan fardu haji secara muassasah pun, aku memerlukan masa selama sepuluh tahun untuk mencukupkan simpanan. Berapa cepatkah aku dapat mengumpul wang untuk menjejakkan kaki ke tempat yang jauh itu?

Selain daripada kewangan, aku juga risaukan keadaan kesihatanku. Doktor mengesan kelainan pada payudara kananku. Sampel tisu telah diambil. Dalam tempoh sebulan, aku dijangka mendapat jawapannya. Andai aku disahkan menghidap penyakit yang menjadi pembunuh utama wanita itu, aku berharap aku masih berkesempatan menjejakkan kaki ke Masjid Al Aqsa. Ada seperkara lagi yang menjadi penghalang terbesarku untuk menjejakkan kaki ke situ. Keizinan suamiku.

“Abang bimbang kalau berlaku apa-apa. Israel sedang mengepung Masjid Al Aqsa. Orang Palestin pun tak dapat masuk. Sayang pun tak berapa sihat. Tangguhkanlah dulu niat tu.”

Malam itu, telefon di rumah berdering. Panggilan dari Cik Nor, satu-satunya adik perempuan arwah ibuku. Cik Nor memberitahu akan menunaikan umrah sebulan lagi. Aku segera berpesan agar Cik Nor mendoakan hajatku ziarah ke Al Aqsa akan tercapai.

“Kebetulan, ada kawan Cik Nor nak tarik diri dari lawatan ke Al Aqsa. Maknya tiba-tiba kena angin ahmar. Dia tak sampai hati nak tinggalkan maknya. Dia sedang cari orang untuk ganti tempatnya. Esok Cik Nor tanyakan ya.”

Aku terus mendirikan solat hajat. Ada semacam seru yang amat kuat memanggil aku menziarahi masjid yang pernah menjadi kiblat pertama umat Islam itu. Pukul sepuluh pagi, seusai menunaikan solat duha, telefon rumahku berdering. Gagang telefon kuangkat dengan penuh harapan. Bukan Cik Nor yang menelefon tetapi kawannya.

“Saya syukur sangat hajah sudi gantikan tempat saya. Sekurang-kurangnya, saya tak rugi duit hotel. Dah selamat pulang nanti, hajah bayarlah kosnya secara beransur-ansur. Tolong doakan kesihatan mak saya masa di Al Aqsa ya.”

Ketika itu aku tidak teringat perkara lain kecuali meyakini bahawa pertolongan Allah itu lebih dekat dari urat leher manusia itu sendiri. Rupa-rupanya pakej selama lapan hari enam malam ke Al Aqsa itu dianjurkan oleh sebuah Kelab Warga Emas. Selain menziarahi Al Aqsa, para peserta akan dibawa melawat Baitul Laham, Hebron, Ramallah, Amman, Karak dan Petra. Ramai wanita yang pergi tanpa suami kerana kebanyakan mereka adalah balu, janda dan wanita yang belum berkahwin. Aku amat bersyukur kerana namaku diterima sebagai peserta terakhir rombongan tersebut.

Suamiku terpaksa merestui pemergianku. Aku mengambil keputusan menggadaikan satu-satunya gelang emas yang kumiliki. Walaupun jumlah yang kuterima tidak seberapa dan menjadi semakin kecil apabila ditukar kepada dolar, aku amat bersyukur kerana telah ada duit belanja di Al Aqsa.

Akhirnya hari yang kutunggu-tunggu tiba juga. Selepas lebih tujuh jam dalam penerbangan, akhirnya kami selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Alia Jordan. Kami dibawa bersarapan di Madaba Inn. Entah mengapa ada semacam prarasa yang tidak enak menggayuti hati sejak dalam penerbangan lagi. Hatiku resah semasa melawat ke bandar tertua di dunia iaitu Jericho. Begitu juga semasa lawatan di makam Nabi Musa. Keresahan itu masih bersarang semasa ahli rombongan mendaftar masuk di Hotel National.

Sebelum makan malam, kesemua ahli rombongan termasuk lapan orang yang baru tiba dari Jordan diperkenalkan oleh penganjur. Mereka ingin mengerjakan haji secara pakej tetapi tidak mendapat visa pada saat-saat akhir. Khabarnya mereka mengubat kekecewaan dengan menyertai lawatan ke Al Aqsa. Tiba-tiba aku terpandang wajah seseorang dalam kumpulan berlapan itu. Ya Allah! Adakah mataku tersalah pandang? Bagaimana dia boleh berada dalam rombongan ini? Hatiku berasa tidak keruan.

Selepas makan, kebanyakan ahli rombongan beransur-ansur masuk ke bilik. Kemudahan lif di hotel itu agak terhad. Setelah puas menunggu, akhirnya aku dapat juga menaiki lif yang kosong. Sebelum pintu lif tertutup, tiba-tiba dia meloloskan diri.

“Boleh kita berbual tak?,” soalnya sambil menekan butang lif tingkat sembilan. Aku baharu tahu biliknya berada di tingkat yang sama denganku. Aku merasakan diriku seperti berada dalam zon peperangan Hamas dan Israel.

“Apa lagi yang nak dibualkan? Yang dah lepas biarlah lepas. Maria dah lama lupakan segala-galanya,” balasku.

“Abang minta maaf banyak-banyak. Abang kesal kerana tidak menjadi pelindung ketika Maria perlukan abang,” ujarnya separuh berbisik. Ganti nama ‘abang’ itu kian mengocakkan nuansa nostalgik.

“Mak dah meninggal. Masa mak nazak, mak nak sangat jumpa Maria. Mak nak minta maaf. Mak dah ceritakan segala-galanya pada abang. Abang telefon Cik Nor. Tapi Cik Nor kata, jangan ganggu Maria. Maria dah ada suami,” sambungnya. Berita itu menjadikan aku semakin sedih. Aku bukan sedih dengan kematian ibunya tetapi aku kembali teringat kepada segala perlakuan kejam ibunya. Kezaliman ibunya tidak ubah seperti kezaliman Israel pada rakyat Palestin.

Pintu lif terbuka. Aku segera keluar. Tiada yang lebih kuingini pada saat itu kecuali menjauhinya.

Aku benar-benar tak sangka akan bertemu dengannya di sini. Patutlah seharian hatiku berdebar-debar. Kenangan silam yang hampir berjaya kulupakan kembali membadai ingatan. Ibu mentuaku tidak merestuiku menjadi menantunya kerana aku anak yatim piatu yang tidak berharta.

“Kau jangan ingat kau boleh hidup senang di sini. Kalau kau tak tahan kau boleh berambus.”

Bermula dari hari itu, aku menjadi orang gaji di rumah ibu mentuaku. Ibu mentuaku akan berkata apa sahaja dan berbuat sekehendak hati sebaik suamiku ke pejabat. Pada sebelah petang, sebaik suamiku pulang, ibu mentuaku akan bertukar peranan secara mendadak. Aku tidak perlu bercakap banyak, hanya tersenyum dan memberikan gambaran kepada suamiku bahawa semuanya baik-baik belaka.

Sebulan selepas berkahwin, aku menyuarakan keinginan untuk mencari kerja. Aku memberi alasan ingin membantu persekolahan adik-adikku. Aku merahsiakan alasan yang sebenarnya iaitu aku tidak ingin terperap 24 jam bersama ibunya.

“Abang bukan tak izinkan. Abang pun tak nak sia-siakan ijazah sayang. Abang nak sayang temankan mak. Abang faham sayang anak sulung. Abang akan tanggung belanja sekolah adik-adik sayang.”

Aku akui suamiku memang baik. Dia menunaikan janjinya untuk membantu persekolahan adik-adikku. Aku berasa sangat gembira. Dua bulan selepas berkahwin, suamiku mendapat tawaran berkursus di Jepun selama enam bulan. Sepanjang pemergian suamiku, kehidupanku umpama dalam tembok batu zionis! Segala hak asasiku sebagai manusia yang berhak bahagia dinafikan.

Hari demi hari berlalu. Aku menyedari diriku berbadan dua. Ibu mentuaku melarang aku memberitahu suamiku. Berbagai cara dilakukan supaya kandunganku gugur. Namun kandunganku berjaya melebihi usia lapan bulan. Seminggu lagi suamiku akan kembali. Suamiku masih belum mengetahui dia bakal bergelar bapa. Aku berharap penderitaanku akan tamat dengan kepulangan suamiku. Aku nekad untuk menceritakan kepada suamiku tentang perbuatan ibunya. Jika suamiku memilih ibunya, perkahwinan itu akan berakhir.

Suatu malam, aku mulai merasa kesakitan hendak bersalin. Mula-mula perlahan. Sejam kemudian, aku terasa sakit setiap lima minit. Aku tidak ada pilihan lain. Aku terpaksa melutut, merayu dan menangis di depan ibu mentuaku. Ibu mentuaku tidak memandang langsung ke arahku. Matanya bagaikan digam ke skrin televisyen. Aku meraung kesakitan. Terasa sesuatu meluncur keluar diiringi lendir dan darah. Aku pengsan.

Dua hari kemudian aku tersedar dan mendapati diriku terbaring di katil hospital. Wajah pertama yang aku nampak ialah Cik Nor. Aku meraba-raba perutku yang kempis. Setelah keluar hospital, Cik Nor menceritakan segala-galanya. Pada malam aku bersalin, Cik Nor tergerak singgah ke situ. Dari gelangsar kaca, Cik Nor ternampak aku terbaring berlumuran darah di ruang tamu. Cik Nor terpaksa menelefon polis kerana ibu mentuaku enggan membuka pintu.

“Bila polis soal, dia kata dia tidur mati. Dia tak tahu apa yang berlaku. Dia memang kejam. Sudahlah, jangan diingat lagi. Semua yang berlaku ada hikmahnya” ujar Cik Nor mengakhiri ceritanya.

Beberapa hari kemudian suamiku menelefon. Kata-katanya tidak akan kulupakan hingga ke akhir hayat:

“Kalau sayang tak suka mak, sayang jangan buruk-burukkan mak. Sampai hati sayang telefon polis untuk jatuhkan nama baik mak. Abang perintahkan sayang kembali taat pada abang. Sayang mesti balik dalam tempoh seminggu. Jika sayang ingkar, abang akan ceraikan sayang.”

Suamiku langsung tidak menyebut tentang kematian anak yang kulahirkan. Dia terlepas bahagian itu kerana ibu mentuaku merahsiakannya. Aku lebih rela diceraikan. Aku tidak mendengar (sebenarnya aku tidak berminat untuk mengambil tahu pun) khabar bekas suamiku lagi. Aku berjaya bangkit dari kesedihan. Mendapat pekerjaan yang agak baik, membeli rumah dan mengajak adik-beradikku tinggal bersama. Tahun lepas, aku bertemu jodoh dengan duda beranak dua. Aku bersyukur kerana suamiku faham dengan tanggungjawabku sebagai anak sulung.

“Adik-adik apa khabar?” tiba-tiba dia sudah tercegat di depanku semasa aku memandang Tembok Ratapan keesokan harinya.

“Semua dah berjaya. Kami tak kaya tapi kami bahagia,” luahku sambil memandang tepat ke matanya. Air mukanya berubah.

“Maria, abang bersyukur kerana doa abang untuk bertemu Maria dimakbulkan Allah. Tambah bersyukur kerana kita dipertemukan di tanah suci ini. Semasa abang ke Jepun, abang ada tinggalkan duit untuk sara hidup Maria dan adik-adik. Tapi mak tak sampaikan pada Maria. Duit itu tetap hak Maria. Abang cuba serahkan pada Cik Nor tapi Cik Nor tak mahu jumpa abang. Perasaan abang tak tenang selama ini. Abang selalu mimpi buruk tentang mak. Maafkanlah mak. Ringankanlah azab kuburnya. Bila Maria dah selamat pulang nanti, telefon peguam abang. Nombornya ialah…” Aku segera berlalu. Air mataku tidak dapat ditahan lagi.

Sepanjang malam aku menggelisah di atas katil. Perasaanku bercampur baur.

“Maria, Maria,” aku terdengar suara rakan sebilikku, Hajah Latifah. Entah bila aku terlelap. Aku melihat jam. Dah pukul 4.45 pagi. Aku bingkas bangun.

“Akak tak dapat pergi masjid. Akak uzur,” terang Hajah Latifah. Aku terpempan. Aku sudah terlewat bangun dan kini, kehilangan teman untuk ke Al Aqsa.

Aku merapikan diri sekadarnya. Aku mencapai roti, limau dan epal yang kubeli di depan hotel siang tadi. Aku berhajat menyedekahkannya pada anak-anak Palestin di dalam masjid. Lima belas minit kemudian aku sudah berada di lobi hotel. Keadaan lengang. Nampaknya semua ahli rombongan telah bergerak ke Al Aqsa. Aku cuba berjalan sepantas mungkin. Tiba-tiba terdengar alunan azan. Sempatkah aku tiba ke Al Aqsa sebelum masuk waktu subuh? Aku segera berlari-lari anak. Bunyi tapak kasutku memusnahkan kesunyian dalam kubu Kota Lama.

“Stop!,” tiba-tiba aku melihat seorang tentera Israel tercegat di hujung lorong. Muncung senapang dihalakan ke arahku.

“What inside the bag? Open the bag,” jerkah tentera itu lagi. Mungkinkah tentera itu memikirkan aku pejuang berani mati yang membawa bom? Beg selempangku dirampas. Kesemua isinya dituang. Terjemahan al Quran turut terjatuh. Aku ingin mengambilnya, tapi tanganku dihentak dengan senapang. Ya Allah!

“Take off your jacket!!”

Aku cuba melawan ketika tentera itu cuba menanggalkan jaketku. Tiba-tiba saja dia muncul entah dari mana.

“Please release her. She is my wife. Please,” ujarnya sambil mengangkat kedua-dua belah tangannya. Dia berjubah dan berserban putih.

“You can take all my belongings and money. But not my wife. Please release her,” rayunya sambil mencampakkan beg selempangnya. Perkara seterusnya berlaku dengan begitu pantas. Tiga das tembakan dilepaskan dan dia rebah di hadapanku. Aku hanya mampu meraung sekuat hati.

Kini, sudah seminggu aku pulang ke tanah air. Bererti sudah seminggu juga aku menangisi pemergiannya. Dia menjadi satu-satunya warga bukan Palestin yang diberi penghormatan untuk dikebumikan di Pusara Syuhada di Gaza. Pusara itu menempatkan ribuan pejuang yang gugur daripada serangan zionis Israel. Pusaranya menjadi bukti kekejaman tentera Israel terhadap pelancong di Kota Suci Tiga Agama. Seluruh dunia mengutuk kejadian itu.

Dalam perjalanan ini, aku telah menemui dua yang jauh.

Pertama, Al Aqsa iaitu masjid suci yang jauh dari Masjid Nabawi dan Masjidil Haram.

Kedua, bekas suamiku. Dulu, aku menganggapnya sebagai insan “yang jauh” kerana tidak melindungiku dari kezaliman ibunya.

“Sayang, sabar ya. Allah memberi ujian hanya kepada orang yang tabah.”

Aku dapat mengesan kepiluan di wajah suamiku semasa dia menghulurkan sampul surat tertera cap “Hospital Pakar.” Tanpa membuka surat itu pun, aku dapat mengagak isi kandungannya. Aku pernah melalui dua saat getir yang hampir meragut nyawa. Sesungguhnya, aku tidak takut lagi untuk menghadapi saat getir yang ketiga.

cATATAN  MASKIAH &MASROM
11 Oktober 2015 ..Utusan Malaysia

marilah bersama kita berdoa semuga saudara2 kita di bumi Plastine tabah dan kuat semangat menentang kezaliman Yahudi laknattullah dan insyaallah jika  tiada rentangan pada 25  mac 2016 ini saya akan  menjejakkan kaki ke Aqsa,doakan saya ( admin blog )

Advertisements