ASPEK SYARAK DALAM PENENTUAN WAKTU SOLAT

ASPEK-ASPEK SYARAK DALAM PENENTUAN WAKTU SOLAT

 Oleh:Muhamad Zakuwa bin Rodzali

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)

Definisi Solat   

1.1       Solat Menurut Bahasa

Solat dari sudut bahasa bermaksud berdoa dengan kebaikan.[1] Allah SWT berfirman dalam surah al-Taubah ayat 103:

وَصَلِّ عَلَيْهِمْ إِنَّ صَلاتَكَ سَكَنٌ لَهُمْ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيم…Maksudnya;

“…dan doakanlah untuk mereka kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah maha mendengar lagi maha mengetahui.

Di mana doa dan istighfar Rasulullah SAW untuk mereka yang telah bertaubat dan mengeluarkan harta di jalan Allah kerana tidak turut serta dalam peperangan Tabuk akan mendatangkan ketenteraman kepada hati mereka bahawa Allah SWT telah menerima taubat mereka.

1.2       Solat Menurut Istilah

Solat dari sudut istilah fuqaha’ bermaksud perkataan-perkataan dan perbuatan-perbuatan tertentu yang dimulai dengan takbir dan disudahi dengan salam.[3] Ia dinamakan dengan solat kerana terkandung di dalamnya doa-doa, maka dinamakan ia bersempena bahagian yang terpenting itu.

Pensyariatan Ibadah Solat

Pensyariatan ibadah solat sabit dengan dalil-dalil berikut:

al-Quran Surah al-Ruum ayat 17-18

. فَسُبْحَانَ اللَّهِ حِينَ تُمْسُونَ وَحِينَ تُصْبِحُونَ وَلَهُ الْحَمْدُ فِي السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ وَعَشِيًّا وَحِينَ تُظْهِرُون

 Maksudnya; Maka bertasbihlah kepada Allah semasa kamu berada pada waktu malam dan semasa kamu berada pada waktu Subuh. Dan bagi-Nyalah segala puji di langit dan di bumi dan juga pada waktu petang dan semasa kamu berada pada waktu Zuhur.

Al-Mawardi menyatakan bahawa perbezaan antara waktu المساء dengan العشاء seperti berikut:

المساء adalah tampaknya kegelapan selepas terbenamnya matahari.

العشاء adalah akhir siang ketika condongnya matahari ke arah terbenam.

Mengikut Ibn Abbas r.a., tafsiran mengenai ‘bertasbihlah kepada Allah’ adalah mendirikan solat-solat fardhu berikut:

تُمْسُونَ               (Solat Maghrib dan Isyak).

وَحِينَ تُصْبِحُونَ               (Solat Subuh).

وَعَشِيًّا                           (Solat Asar).

وَحِينَ تُظْهِرُون              (Solat Zohor).

Surah al-Nisa’ ayat 103

إِنَّ الصَّلاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَوْقُوتًا …

Maksudnya;

 …Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang yang beriman yang tertentu waktunya.

Kitaban mauquta’ dalam ayat di atas bererti solat-solat fardhu telah diwajibkan dalam waktu-waktu yang tertentu dan tidak seharusnya dilaksana melampaui batasan waktunya yang dinyatakan.[6] Setengah ulama’ menafsirkan ‘mauquta’ dalam ayat tersebut sebagai bilamana berakhirnya suatu waktu maka akan datanglah waktu yang lain pula.[7]

Surah Toha ayat 130فاصبر عَلَى مَا يَقُولُونَ وَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ قَبْلَ طُلُوعِ الشَّمْسِ وَقَبْلَ غُرُوبِهَا وَمِنْ آنَاءِ اللَّيْلِ فَسَبِّحْ وَأَطْرَافَ النَّهَارِ لَعَلَّكَ تَرْضَى

Maksudnya; Maka bersabarlah engkau wahai Muhammad akan apa yang mereka katakan, dan beribadatlah dengan memuji Tuhanmu sebelum matahari terbit dan sebelum terbenamnya; dan beribadatlah pada saat-saat dari waktu malam dan sebelah siang; supaya engkau mendapat keredhaan-Nya.

 Di mana ‘beribadatlah dengan memuji Tuhanmu[8] ditafsirkan seperti berikut:

قَبْلَ طُلُوعِ الشَّمْسِ          (Solat Subuh).

وَقَبْلَ غُرُوبِهَا                    (Solat Asar dan Zohor).

وَمِنْ آنَاءِ اللَّيْلِ                (Solat Isyak, Maghrib dan Tahajjud).

وَأَطْرَافَ النَّهَارِ                (Solat Subuh dan Maghrib sebagai taakid).

Surah al-Isra’ ayat 78  أَقِمِ الصَّلاةَ لِدُلُوكِ الشَّمْسِ إِلَى غَسَقِ اللَّيْلِ وَقُرْآنَ الْفَجْرِ إِنَّ قُرْآنَ الْفَجْرِ كَانَ مَشْهُودًا

Maksudnya;  Dirikanlah sembahyang ketika gelincir matahari hingga gelap malam dan solat Subuh; sesungguhnya solat Subuh itu adalah disaksikan para Malaikat.

Allah memerintahkan dalam ayat ini supaya Rasulullah SAW dan umatnya mendirikan solat-solat fardhu dengan sempurna dari segi rukun dan syaratnya dari tergelincirnya matahari sehinggalah ke tengah malam. Solat-solat fardhu ini meliputi solat Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak. Sementara ‘qur’an al-fajr’ bermaksud solat Subuh.[9]

Di dalam menafsirkan ayat ini, ulama’ menjelaskan bahawa bacaan dalam solat Subuh sebaiknya dipanjangkan memandangkan malaikat malam dan malaikat siang berkumpul di belakang imam ketika solat Subuh.

عن أبي هريرة عن النبي صلى اللّه عليه وسلم في قوله تعالى: “وقرآن الفجر إن قرآن الفجر كان مشهودا تشهده ملائكة الليل وملائكة النهار”.Maksudnya;

Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi Muhammad s.a.w. pada menafsirkan firman Allah SWT وقرآن الفجر إن قرآن الفجر كان مشهودا  bersabda: ‘Menyaksikannya malaikat malam dan malaikat siang.’

al-Hadith

Dari Anas bin Malik r.a.

عن أنس بن مالك قال: كان أبو ذر يحدث: أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: (…ففرض الله على أمتي خمسين صلاة،…فراجعته، فقال: هي خمس، وهي خمسون، لا يبدل القول لدي…)[10]

(البخاري رواه)

Maksudnya;  Dari Anas bin Malik r.a. katanya Abu Zar menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: ‘… maka Allah SWT fardhukan (atasku dan) atas umatku lima puluh solat… lalu aku memohon kepada-Nya (supaya dikurangkan lagi bilangan solat itu yang telahpun dikurangkan sehingga tinggal lima sahaja); maka Allah Ta’ala berfirman; Solat fardhu (sehari semalam itu) tetap lima (dari segi bilangannya) dan ia juga tetap lima puluh (dari segi pahalanya), keputusan-Ku itu tidak dapat diubah atau ditukar ganti…’.

(Riwayat Imam al-Bukhari)

  1. Dari Malik bin Sha’sha’ah r.a.

عن  مالك بن صعصعة رضي  الله عنه: أن  نبي الله صلى الله عليه  وسلم  حدثه  عن  ليلة أسري  به: … ثم فرضت علي الصلوات خمسين صلاة كل يوم، فرجعت  فمررت على موسى، فقال: بم أمرت؟ قال: أمرت بخمسين  صلاة كل يوم، قال: إن أمتك  لا تستطيع خمسين صلاة كل يوم، وإني والله  قد جربت الناس  قبلك، وعالجت بني  إسرائيل أشد المعالجة، فارجع  إلى ربك فاسأله  التخفيف لأمتك، فرجعت  فوضع عني عشرا، فرجعت إلى موسى فقال مثله، فرجعت فوضع عني عشرا، فرجعت  إلى موسى فقال  مثله، فرجعت  فوضع  عني  عشرا، فرجعت  إلى موسى  فقال  مثله، فرجعت  فأمرت بعشر صلوات كل  يوم، فرجعت فقال  مثله، فرجعت  فأمرت  بخمس  صلوات كل  يوم،  فرجعت إلى موسى، فقال: بما أمرت؟ قلت: أمرت  بخمس صلوات كل يوم، قال: إن  أمتك لا تستطيع خمس صلوات كل يوم، وإني  قد جربت الناس قبلك  وعالجت بني  إسرائيل أشد المعالجة، فارجع  إلى ربك فاسأله  التخفيف لأمتك، قال: سألت ربي حتى استحييت، ولكن  أرضى وأسلم، قال: فلما جاوزت نادى مناد: أمضيت فريضتي، وخففت عن عبادي).[11]

(البخاري رواه)

Maksudnya;

 

Dari Malik bin Sha’sha’ah menyatakan bahawa Nabi s.a.w. menceritakan kepadanya tentang malam beliau diperjalankan. Baginda s.a.w. bersabda:… Kemudian diwajibkan kepadaku 50 solat setiap hari. Aku kembali dan melewati Musa a.s. Dia berkata, ‘Apa yang diperintahkan kepadamu?’ Aku berkata, ‘Aku diperintahkan 50 solat setiap hari.’ Dia berkata, ‘ Sesungguhnya umatmu tidak akan mampu melaksana 50 solat setiap hari. Sungguh demi Allah, aku telah mencuba orang-orang sebelummu. Aku berupaya memperbaiki Bani Israel dengan susah payah. Kembalilah kepada Tuhanmu dan mohonlah keringanan bagi umatmu kepada-Nya.’ Aku kembali dan dikurangi dariku 10 (solat). Aku kembali kepada Musa dan dia mengatakan seperti itu. Aku kembali dan dikurangi dariku 10 (solat). Aku datang lagi kepada Musa dan dia mengatakan seperti itu. Aku kembali dan dikurangi dariku 10 (solat). Aku kembali kepada Musa dan dia mengatakan seperti itu. Aku kembali dan diperintahkan (melaksana) 10 solat setiap hari. Aku kembali dan dia mengatakan seperti itu. Maka aku kembali dan diperintahkan (melaksana) 5 solat setiap hari. Aku kembali kepada Musa dan dia berkata, ‘Apa yang diperintahkan kepadamu?’ Aku berkata, ‘Aku diperintah melaksana 5 solat setiap hari.’ Dia berkata, ‘Sesungguhnya umatmu tidak akan mampu melaksana 5 solat setiap hari. Sungguh aku telah mencuba orang-orang sebelummu dan berupaya memperbaiki Bani Israel dengan susah payah. Kembalilah kepada Tuhanmu dan mohonlah keringanan bagi umatmu.’ Aku berkata, ‘Aku telah memohon kepada Tuhanku hingga aku malu. Akan tetapi aku redha dan pasrah.’ Beliau bersabda, ‘Ketika aku telah lewat maka terdengar seruan, ‘Aku telah menetapkan fardhu-Ku dan memberikan keringanan atas hamba-hamba-Ku.’

 (Riwayat Imam al-Bukhari)

Mengikut riwayat Ismail al-Sudiyy, peristiwa Isra’ berlaku pada bulan Zulkaedah, enam belas bulan sebelum penghijrahan Baginda s.a.w. ke Madinah manakala mengikut riwayat al-Zuhri dan Urwah, ia berlaku pada bulan Rabiulawal, kira-kira setahun sebelum Baginda keluar ke Madinah.[12] Riwayat yang masyhur menyatakan ia berlaku pada malam 27 Rejab tahun ke-11 selepas Baginda diangkat menjadi Rasul.

Dari Ibn Abbas r.a.

عن ابن عباس رضي الله  عنهما: أن النبي صلى الله عليه وسلم بعث معاذا رضي الله عنه إلى اليمن،

فقال: (ادعهم  إلى: شهادة أن لا إله إلا  الله وأني رسول الله، فإن  هم أطاعوه لذلك، فأعلمهم أن

الله قد  افترض عليهم خمس صلوات في كل  يوم  وليلة.[13]

(البخاري رواه)

Maksudnya;

 

Dari Ibn Abbas r.a.: Bahawa Nabi s.a.w. telah mengutuskan Muaz ke Yaman dan berpesan, ‘Serulah mereka kepada penyaksian bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku utusan Allah. Sekiranya mereka menerimanya, maka maklumkanlah kepada mereka bahawa Allah telah mewajibkan atas mereka lima kali solat dalam sehari semalam…’    

 

(Riwayat Imam al-Bukhari)

  1. Dari Talhah r.a.

           

حدثنا إسماعيل بن عبد الله قال: حدثني مالك، عن عمه أبي سهيل، عن أبيه: أنه سمع طلحة بن عبيدالله يقول: جاء رجل إلى رسول الله صلى الله عليه وسلم، فإذا هو يسأله  عن الإسلام، فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم: (خمس صلوات في اليوم والليلة). فقال: هل علي غيرها؟ قال: (لا، إلا أن تطوع).[14]

(البخاري رواه)

 

                        Maksudnya;

Seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah s.a.w. dan bertanyakan tentang Islam.Maka Rasulullah s.a.w. berkata: ‘Solat lima kali sehari semalam.’ Lelaki tersebut bertanya lagi, ‘Apa lagi yang diwajibkan ke atasku?’ Rasulullah berkata, ‘Tiada, melainkan yang sunat.’

 

(Riwayat Imam al-Bukhari)

  1. Waktu-Waktu Solat

 

Penentuan masuk waktu-waktu solat fardhu telah dijelaskan secara langsung oleh Jibril kepada Rasulullah s.a.w. melalui hadith berikut:

عن جابر بن عبد الله وهو الأنصاري أن النبي صلى الله  عليه وسلم جاءه جبريل فقال: -قم فصله  فصلى الظهر حين  زالت الشمس ثم جاءه العصر فقال قم  فصله  فصلى العصر حين صار ظل كل شيء مثله أو قال صار ظله مثله ثم  جاءه المغرب فقال قم فصله فصلى حين وجبت الشمس ثم جاءه العشاء  فقال  قم فصله فصلى حين غاب الشفق ثم جاءه الفجر فقال قم  فصله فصلى حين برق الفجر أو  قال حين سطع الفجر ثم جاءه من الغد للظهر فقال قم  فصله فصلى الظهر حين صار ظل كل شيء  مثله ثم جاءه للعصر فقال قم  فصله فصلى العصر حين  صار ظل كل  شيء  مثليه ثم  جاءه  للمغرب المغرب  وقتا واحدا لم  يزل عنه ثم جاءه للعشاء العشاء  حين ذهب نصف الليل أو  قال ثلث الليل  فصلى العشاء ثم  جاءه للفجر حين أسفر جدا فقال قم فصله فصلى الفجر ثم قال ما بين هذين وقت.[15]

(احمد رواه)

Maksudnya;

            Dari Jabir bin Abdullah bahawa Nabi Muhammad s.a.w. didatangi oleh Jibril a.s., lalu berkata kepada Baginda, ‘Bangun dan solatlah.’ Lalu Baginda bersolat Zohor ketika matahari condong. Kemudian Jibril datang pula pada waktu Asar dan berkata kepada Baginda, ‘Bangun dan solatlah.’ Lalu Baginda bangun dan bersolat Asar apabila bayang sesuatu benda menjadi sama panjang dengannya. Kemudian Jibril datang pula pada waktu Maghrib dan berkata kepada Baginda, ‘Bangun dan solatlah.’ Lalu Baginda bersolat ketika matahari terbenam. Kemudian Jibril datang pula pada waktu Isyak dan berkata kepada Baginda, ‘Bangun dan solatlah.’ Lalu Baginda bersolat Isyak ketika cahaya merah (syafaq) hilang. Kemudian Jibril datang pula ketika fajar dan berkata kepada Baginda, ‘Bangun dan solatlah.’ Lalu Baginda bersolat ketika fajar menyinsing.

 

            Pada keesokan harinya, Jibril datang lagi pada waktu Zohor lalu berkata kepada Baginda, ‘Bangun dan solatlah.’ Lalu Baginda bersolat Zohor ketika bayang sesuatu benda menjadi sama panjang dengannya. Kemudian Jibril datang lagi pada waktu Asar dan berkata, ‘Bangun dan solatlah.’ Lalu Baginda bersolat Asar ketika bayang sesuatu benda menjadi dua kali ganda panjang dengannya. Kemudian Jibril datang lagi pada waktu Maghrib pada masa yang sama, kemudian datang lagi pada waktu Isyak ketika berlalu separuh malam (atau sepertiga malam) lalu Baginda bersolat Isyak. Kemudian Jibril datang lagi ketika cahaya pagi sangat kuning dan berkata, ‘Bangun dan solatlah.’ Lalu Baginda bersolat Subuh. Setelah itu Jibril berkata, ‘Di antara dua waktu inilah waktu solat.’

(Riwayat Imam Ahmad)

Huraian bermula dan berakhirnya waktu solat-solat fardhu secara terperinci adalah seperti berikut:

  1. Waktu Zuhur

 

“وقت الظهر إذا زالت الشمس ما لم تحضر العصر.[16]

(رواه مسلم)

Maksudnya;

 

Bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda: Waktu Zohor bilamana matahari tergelincir selagi belum masuk waktu Asar.                     

(Riwayat Imam Muslim)

Awal waktu Zohor

الإستواء حالة ظله على الشيء ظل بزيادة وذلك …الشمس زوال وقته وأول

عنده ظل يبق لم إن بحدوثه أو

Maksudnya;

 

Awal waktu Zohor itu dengan tergelincirnya matahari… iaitu bertambahnya bayang sesuatu objek ke atas bayangnya ketika waktu istiwa atau terjadinya bayang ketika ketiadaan bayang waktu istiwa.

           

            Akhir waktu Zohor

الشمس إستواء ظل سوى مثله الشيء ظل مصير وآخره

Maksudnya;

 

Akhir waktu Zohor apabila panjang bayang sesuatu menjadi sepertimana panjangnya selain panjang bayang waktu istiwa.

Kedudukan matahari di tengah-tengah langit dinamakan istiwa. Apabila matahari condong dari kedudukannya di tengah langit melintasi dari timur ke barat maka berlakulah gelincir.

Seseorang dapat mengenali detik gelincir dengan cara melihat kepada suatu objek tegak atas tanah. Jika bayang objek tersebut pendek, maka gelincir matahari belum lagi berlaku. Akan tetapi jika bayangnya terhenti di tengah, tidak berkurang atau bertambah, maka detik itu adalah detik istiwa. Jika bayangnya bertambah, bermakna detik gelincir sudah berlaku.

  1. Waktu Asar

أن رسول الله صلى الله عليه وسلم  قال: (ومن أدرك  ركعة  من العصر  قبل أن تغرب الشمس فقد أدرك العصر).[17]

)عليه متفق(

Maksudnya;

 

Bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda: Barangsiapa yang mendapat satu rakaat daripada solat Asar sebelum terbenamnya matahari maka dia telah mendapatkan solat Asar.                   

(Muttafaq calaih)

 

Awal waktu Asar

العصر وقت أول وهو الشمس إستواء ظل سوى مثله الشيء ظل مصير

Maksudnya;

 

Apabila panjang bayang sesuatu menjadi sepertimana panjangnya selain panjang bayang waktu istiwa maka itu adalah awal waktu Asar.

           

            Akhir waktu Asar

الشمس تغرب حتى وقته ويبقى

Maksudnya;

 

            Dan berkekalanlah waktu Asar sehingga matahari terbenam.

 

Waktu Asar bermula dengan tamatnya waktu Zohor dan berakhir dengan terbenamnya matahari. Menurut jumhur, ia bermula semasa bayang sesuatu objek bertambah dari panjangnya, iaitu pertambahan yang paling minimum. Sementara menurut Imam Abu Hanifah, ia bermula dari masa penambahan ke atas dua kali ganda bayang objek.

 Waktu Maghrib

ووقت صلاة المغرب ما لم يغب الشف18]

(رواه مسلم)

Maksudnya;Waktu solat Maghrib adalah selagimana belum hilangnya syafaq.

 (Riwayat Imam Muslim)

Awal waktu Maghrib

 الغروب تكامل والمراد بالغروب وقتها يدخل والمغرب

Maksudnya; Masuknya waktu Maghrib dengan terbenamnya matahari secara keseluruhannya.

Akhir waktu Maghrib

الأحمر الشفق يغيب حتى وقتها ويبقى

Maksudnya; Dan berkekalanlah waktu Maghrib sehingga hilangnya syafaq al-ahmar.

 Waktu Isyak

 حتى  الصلاة يصل لم من  على التفريط  إنما تفريط  النوم فى ليس

الأخرى وقت يدخل

(رواه مسلم) Maksudnya; Tidak ada kecuaian dengan tertidur, sesungguhnya kecuaian itu ke atas orang

 yang belum melaksana solat sehingga datangnya waktu solat yang berikutnya.

(Riwayat Imam Muslim)

Awal waktu Isyak

 الأحمر الشفق بمغيب وقتها يدخل والعشاء

Maksudnya; Masuknya waktu Isyak dengan hilangnya syafaq al-ahmar.

Akhir waktu Isyak

الصادق الفجر إلى وقتها ويبقىMaksudnya;Dan berkekalanlah waktu Isyak sehingga terbitnya fajar sadiq.

 Waktu Subuh

 الشمس تطلع لم ما الفجر طلوع من الصبح صلاة وقت (رواه مسلم)

Maksudnya;

Waktu solat Subuh itu dari terbitnya fajar selagi belum terbitnya matahari.

 Awal waktu Subuh

 بالأفق معترضا ضوؤه المنتشر وهو …الصادق بالفجر وقتها ويدخل

Maksudnya;

 Masuknya waktu Subuh dengan fajar sadiq… yang terbentang cahayanya di ufuk.

  Akhir waktu Subuh

بعضها  طلوع هنا بطلوعها والمراد …الشمس تطلع  حتى  وقتها ويبقى غروبها بخلاف

Maksudnya;

 Dan berkekalanlah waktu Subuh sehingga terbitnya matahari…iaitu terbit sebahagiannya tidak sepertimana ketika terbenam matahari (waktu Maghrib).

 Fajar sadiq adalah cahaya putih yang menyerlah mengikut garis lintang ufuk. Fajar sadiq berlainan dengan fajar kazib yang naik memanjang mengarah ke atas di tengah-tengah langit seperti ekor serigala hitam.

[1] Dr. Mustafa al-Khin et. al (1996), al-Fiqh al-Manhaji cala Mazhab al-Imam al-Shafi’i, j. 1, Damsyiq: Dar al-Qalam, h. 99.

[2] Dr. Wahbah al-Zuhaili (1998), al-Tafsir al-Munir fi al-cAqidah wa al-Syariah wa al-Manhaj, j. 11, Damsyiq: Dar al-Fikir, h. 29.

[3] Op.cit.

[4] Op.cit., j. 21, h. 63.

[5] Dr. Mustafa al-Khin et. al (1996), al-Fiqh al-Manhaji cala Mazhab al-Imam al-Shafi’i, j. 1, h. 102.

[6] Dr. Wahbah al-Zuhaili (1998), al-Tafsir al-Munir fi al-cAqidah wa al-Syariah wa al-Manhaj, j. 5, h. 235.

[7] al-Sheikh Muhammad Rashid Redha (2002), Tafsir al-Quran al-cAzim al-Macaruf bi Tafsir al-Manar, j. 5, Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-cArabi, h. 324.

[8] Op.cit, j. 16, h. 305.

[9] Ibid, j. 15, h. 151.

[10] Ahmad bin Ali bin Hajar al-Asqalani, Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, j. 1, Riyadh: Dar al-Salam, h. 595-596.

[11] Ibid, j. 7, h. 252-254.

[12] Abu al-Fida’ Ismail ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, j. 2, Beirut: Dar al-Ma’rifah, h. 118.

[13] Ahmad bin Ali bin Hajar al-Asqalani, Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, j. 3, h. 330.

[14] Ibid, j. 5, h. 353

[15] Ahmad bin Hanbal, al-Musnad li al-Imam Ahmad bin Hanbal, j. 5, Beirut: Dar al-Fikir, h. 83-84.

[16] al-Sheikh Muhammad al-Syarbini al-Khatib, Mughni al-Muhtaj, j. 1, Kaherah: Maktabah Mustafa al-Babi al-Halabi, h. 121.

[17] Ibid.

[18] Ibid.