ZAKAT

Zakat (زكاة) (dari kata tazakka – mensucikan) (bahasa Inggerisalmsgiving atau tithing) ialah derma yang wajib diberikan orang Islam yang mampu kepada 8 golongan (asnaf) yang berhak menerimanya. Ia merupakan rukun ketiga dari Rukun Islam.

Dari segi bahasa zakat bererti bersih, suci, subur dan berkembang.

Dari surah At-Taubah (09), ayat 103:

(۱۰۳) خُذۡ مِنۡ أَمۡوَالِهِمۡ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمۡ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيۡهِمۡ إِنَّ صَلاَتَكَ سَكَنٌ لَّهُمۡ وَاللّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk) dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu(Muhammad) itu menjadi ketenteraman bagi mereka dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui

Manakala dari segi syarak, zakat ialah mengeluarkan sebahagian daripada harta yang tertentu kepada golongan tertentu apabila cukup syarat-syaratnya.

Menurut siri ceramah agama Islam yang dikomentarkan oleh bekas Mufti Perlis Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin, beliau telah berkata bahawa Saidina Umar Al-Khattab pernah berkata bahawa: “Berilah zakat kepada seseorang (yang fakir miskin) itu menjadi kaya”. Ustaz Dr. Asri telah menerangkan bahawa kenyataan yang dimaksudkan oleh Saidina Umar Al-Khattab itu membawa erti pemberian zakat perlu dilaksanakan sehingga tiada lagi orang fakir miskin serta orang fakir miskin itu telah keluar (bebas) dari wilayah kefakirannya itu.

Syarat wajib zakat

Mana-mana individu yang ingin membayar zakat harus di ambil kira syarat wajib zakat. Ia perlu difahami dan dipenuhi sebelum membuat sebarang taksiran. Syarat-syarat tersebut adalah:

  • Islam
  • Merdeka
  • Sempurna milik
  • Harta usaha yang baik sebagai sumber zakat
  • Cukup nisab (jumlah perolehan untuk berzakat genap atau melepasi nilai minimum)
  • Cukup haul (genap setahun Hijriah atau tahun Masihi)
  • Niat untuk berniaga (zakat perniagaan sahaja)

Pengertian Islam

Zakat hanya dikenakan kepada orang-orang Islam sahaja.

Pengertian merdeka

Seseorang yang ingin membayar zakat itu ialah bukan tergolong dalam kalangan hamba abdi bermaksud mereka yang benar-benar bebas dari era penjajahan secara terang dan jelas, dimana wilayahnya tidak berada dalam kancah penindasan dan peperangan akibat penjajahan. Maka golongan ini diwajibkan membayar zakat.

Sempurna milik

Harta yang hendak dizakat hendaklah dimiliki dan dikawal sepenuhnya oleh orang Islam yang merdeka. Bagi harta yang berkongsi antara orang Islam dengan orang bukan Islam, hanya bahagian orang Islam sahaja yang diambil kira di dalam pengiraan zakat.

Harta usaha yang baik sebagai sumber zakat

Para Fuqaha’ merangkumi semua pendapatan dan penggajian sebagai “Mal Mustafad” iaitu perolehan baru yang termasuk dalam taksiran sumber harta yang dikenakan zakat.

Cukup nisab

Nisab adalah paras minimum yang menentukan sesuatu harta itu wajib dikeluarkan atau tidak. Nisab menggunakan nilai emas harga semasa iaitu 20 misqal emas bersamaan 85 gram emas atau 196 gram perak.

Cukup haul

Bermaksud genap setahun iaitu selama 354 hari mengikut tahun Hijrah atau 365 hari mengikut tahun Masihi. Dalam zakat pendapatan, jangkamasa setahun merupakan jangkamasa mempersatukan hasil-hasil pendapatan untuk pengiraan zakat pendapatan.

Niat untuk berniaga

Khusus buat para peniaga yang telah memperoleh pulangan dan pendapatan hasil perniagaan dan menepati semua syarat wajib diatas wajib membayar Zakat perniagaan.

Jenis zakat

Zakat terbahagi kepada dua jenis iaitu:

  1. Zakat fitrah
  2. Zakat harta

Zakat fitrah

Pembayaran zakat fitrah dibayar pada bulan Ramadhan sahaja mulai 1 Ramadhan hingga 1 Syawal sebelum solat sunat Aidilfitri.

Zakat harta

Manakala zakat harta boleh dibayar pada bila-bila masa. Kadar zakat harta ialah 2.5% dari jumlah harta. Ia bermaksud segala harta benda kita, 2.5% dari harta kita itu adalah bukan hak kita tetapi hak golongan 8 asnaf yang layak menerima zakat daripada kita. Di Indonesia, zakat harta dikenali sebagai zakat maal.

Zakat harta wajib dikeluarkan kerana ia adalah satu jalan jihad kepada Allah dan Islam. Dari surah At-Taubah, ayat ke-88, (9:88):

(Mereka tetap tinggal) tetapi Rasulullah dan orang-orang yang beriman bersamanya, berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka dan mereka itulah orang-orang yang mendapat kebaikan dan mereka itulah juga yang berjaya.

Manakala dari surah An-Nisaa’, ayat ke-95, (4:95):

Tidaklah sama keadaan orang-orang yang duduk (tidak turut berperang) dari kalangan orang-orang yang beriman selain daripada orang-orang yang ada keuzuran dengan orang-orang yang berjihad (berjuang) pada jalan Allah (untuk membela Islam) dengan harta dan jiwanya. Allah melebihkan orang-orang yang berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang kerana uzur) dengan kelebihan satu darjat dan tiap-tiap satu (dari dua golongan itu) Allah menjanjikan dengan balasan yang baik (Syurga) dan Allah melebihkan orang-orang yang berjuang atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang dan tidak ada sesuatu uzur) dengan pahala yang amat besar.

Zakat harta di Malaysia

Berikut adalah jenis zakat yang ada di Malaysia:

Jadual zakat

Perkara yang menyebabkan zakat wajib dibayar Nilai minimum yang diperlukan bagi membayar zakat (Nisab) Kadar pengeluaran zakat
1. Hasil keluaran pertanian Awsuq[1][2] (653 kg (1,440 lb)) per tuaian 5% dari hasilan tanah usaha dalam bentuk irrigasi; 10% dari hasilan tanah yang disirami hujan semulajadi.[3]
2. Emasperak, hasilan emas dan perak 85 g (3 oz) emas atau 595 g (21 oz) perak
2.5% nilai
3. Simpanan dalam bank atau dalam tangan Nilai 595 g (21 oz) perak
2.5% jumlah
4. Barangan dagangan Nilai 595 g (21 oz) perak
2.5% nilai barang[
5. Hasilan perlombongan Apa-apa kuantiti
20% dari nilai hasilan
6. Lembu dan kerbau 30 ekor dalam bilangan
seekor dari 59 ekor yang pertama, 2 ekor untuk 89 ekor seterusnya, 3 ekor untuk 150 ekor seterusnya, atau seekor lembu/kerbau berumur setahun bagi 39 ekor pertama, 1 ekor lembu/kerbau berumur 2 tahun bagi 59 ekor seterusnya, 2 ekor lembu/kerbau berumur setahun bagi 69 ekor seterusnya[4]
7 Kambing & kambing biri-biri 40 dalam bilangan
1 ekor untuk 40 ekor pertama, 2 ekor untuk 120 seterusnya; 3 ekor untuk lebih dari 200 ekor, 1 ekor tambahan bagi setiap 100 ekor seterusnya[4]
8. Unta 5 dalam bilangan
  1. sehingga 5-24, 1 ekor kambing biri-biri atau kambing bagi setiap 5 ekor unta;
  2. 25-35, seekor setahun unta betina;
  3. 36-45, seekor 2-tahun unta betina;
  4. 46-60, seekor 3-tahun unta betina;
  5. 61-75, seekor 4-tahun unta betina;
  6. 76-90, dua-ekor 2-tahun unta betina;
  7. 91-120, tiga-ekor 3-tahun unta betina;
  8. 121 atau lebih, seekor 2-tahun unta betina untuk setiap tambahan 40 ekor atau seekor 3-tahun unta betina untuk tambahan 50 ekor. Mereka juga mesti memberi makanan dan peralatan kendiri bagi setiap satu ekor unta yang hendak dizakatkan.[4]

Golongan yang layak menerima zakat

Zakat ini mesti dibayar kerana ia akan digunakan untuk kerja kebajikan seperti memberi bantuan kepada 8 golongan asnaf yang berhak untuk menerima wang zakat. 8 golongan adalah:

  1. Fakir – Orang yang tidak berharta serta tidak mempunyai pekerjaan sama sekali, atau orang yang mempunyai harta dan pekerjaan tetapi tidak dapat menampung keperluan hariannya. Contoh, keperluannya sehari ialah RM 10.00 tetapi dia hanya ada RM 2.00 sahaja.
  2. Miskin – Orang yang mempunyai harta tetapi tidak mencukupi keperluan hariannya. Contoh, keperluan hariannya RM 10.00, tetapi dia hanya ada RM 7.00 sahaja.
  3. Amil – Orang/Pekerja yang ditugaskan oleh pemerintah mengutip/mengagih zakat.
  4. Muallaf – Saudara baru memeluk Islam
  5. Riqab – Hamba yang menebus dirinya secara ansuran.
  6. Al-Gharimin – Orang yang menanggung hutang dan tidak mampu untuk menyelesaikanya
  7. Fisabilillah – Orang yang berjuang di jalan Allah.
  8. Ibnus sabil – Musafir yang terputus bekalannya semasa di perantauan

Selain dari golongan 8 asnaf ini, mereka TIDAK LAYAK untuk menerima wang zakat.

Faedah Zakat

Faedah diniyah (Agama)

  1. Dengan berzakat bererti kita telah menjalankan salah satu dari rukun Islam yang menyuruh seorang hamba pergi kepada kebahagiaan dan keselamatan dunia dan akhirat.
  2. Merupakan saranan bagi hamba untuk mendekatkan diri kepada Tuhan, akan menambah keimanan kerana keberadaannya yang memuat beberapa macam ketaatan.
  3. Pembayar zakat akan mendapatkan pahala besar yang berlipat ganda, sebagaimana firman Allah Subhaanahu wa Ta’ala, yang bermaksud: “Allah memusnahkan riba dan menyuburkan sedekah” (QS: Al Baqarah: 276). Dalam sebuah hadith yang muttafaq ‘alaih Nabi Shallallaahu ‘alaihi wa Sallam juga menjelaskan bahwa shadaqah dari harta yang baik akan ditumbuhkan kembangkan oleh Allah berlipat ganda.
  4. Zakat merupakan sarana penghapus dosa, seperti yang pernah disabdakan Rasulullah s.a.w.

Faedah Khuluqiyah (Akhlak)

  1. Menanamkan dan melahirkan sifat kemuliaan, rasa bertolak ansur, sentiasa bersyukur, bertakwa dan kelapangan dada kepada peribadi pembayar zakat.
  2. Pembayar zakat biasanya bersifat belas kasihan, peramah dan lembut kepada saudaranya yang tidak cukup keperluan.
  3. Merupakan realiti bahawa menyumbangkan sesuatu yang bermanfaat baik berupa harta mahupun raga bagi kaum muslimin akan melapangkan dada dan meluaskan jiwa kerana sudah pasti ia kan menjadi orang yang dicintai dan dihormati sesuai tingkat pengorbanannya.
  4. Dalam, zakat terdapat penyucian terhadap akhlak.

Faedah Ijtimaiyyah (Sosial Kemasyarakatan)

  1. Zakat merupakan kemudahan untuk membantu dalam memenuhi hajat hidup fakir miskin yang merupakan kelompok majoriti sebahagian besar negara di dunia.
  2. Memberikan dorongan kekuatan bagi kaum muslimin dan mengangkat kehadiran mereka. Ini boleh dilihat dalam golongan penerima zakat, salah satunya adalah perjuangan di jalan Tuhan.
  3. Zakat boleh mengurangkan dendam dan rasa dengki yang ada dalam dada fakir miskin. Kerana masyarakat bawah biasanya berasa benci apabila melihat mereka yang berkelas tinggi menghambur-hamburkan harta untuk sesuatu yang tidak bermanfaat. Jika harta yang demikian melimpah itu dimanfaatkan untuk mengurangkan kemiskinan, tentu akan terjalin keharmonian dan kasih sayang antara si kaya dan si miskin.
  4. Zakat akan memacu pertumbuhan ekonomi pelakunya dan yang jelas berkahnya akan melimpah.
  5. Membayar zakat bererti memperluaskan peredaran harta benda atau wang, kerana ketika harta dibelanjakan maka putarannya akan meluas dan lebih banyak pihak yang mengambil manfaat.
  6. Bagi menangani masalah pengangguran masyarakat Islam, dengan mengambil hasil zakat (sebahagian) untuk disediakan keperluaan yang diperlukan dalam bekerja, menyediakan peluang pekerjaan, menjana pendidikan dan tempat latihan para pekerja.

Hikmah Zakat

Hikmah dari zakat antara lain:

  1. Mengurangkan jurang antara mereka yang berada dengan mereka yang miskin.
  2. Membantu mereka yang berjuang dan berdakwah dalam meninggikan kalimah Allah SWT.
  3. Membersihkan dan mengikis akhlak yang buruk
  4. Alat pembersih harta dan penjagaan dari ketamakan orang jahat.
  5. Ungkapan rasa syukur atas nikmat yang Allah SWT berikan
  6. Untuk pengembangan upaya umat
  7. Memberi kekuatan moral kepada orang yang baru masuk Islam
  8. Menambah pendapatan negara untuk projek-projek yang berguna bagi ummat.

sumber  Wikipedia

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s