P.RAMLEE

Nama lahir Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh
Kelahiran 22 Mac 1929(1929-03-22) Pulau Pinang, Malaysia
Kematian 29 Mei 1973 (umur 44) Jalan Dedap, Taman P. Ramlee, Setapak, Kuala Lumpur
Genre Tradisional, Pop
Pekerjaan Penyanyi, pelakon, pengarah filem, pemuzik, penulis lagu
Instrumen Ukulele, gitar, biola, piano, vokal
Tahun aktif

Tan Sri Datuk Amar Dr. P. Ramlee (dilahirkan sebagai Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh; 22 Mac 1929 – 29 Mei 1973) merupakan seorang penyanyi, pelakon, pengarah, pemuzik dan penulis lagu yang berasal dari Pulau Pinang, Malaysia. Beliau juga digelar sebagai “Seniman Agung Negara” kerana jasanya yang amat besar dalam industri hiburan terutamanya di rantau Asia Tenggara. Beliau pernah mendapat pengiktirafan yang meluas dari dalam dan luar negara di sepanjang hidupnya hinggalah selepas kematiannya.

pramlee-7

Latar belakang

Beliau telah dilahirkan di Pulau Pinang pada pagi Hari Raya Aidilfitri, pada tarikh 22 Mac 1929 kepada pasangan Teuku Nyak Puteh Teuku Karim (1902 – 1955) dan Che Mah Hussein (1904 – 1967). Bapanya yang berasal dari Lhokseumawe, Acheh telah mendirikan rumahtangga dengan Che Mah Hussein pada tahun 1925 di Kubang Buaya, Butterworth. P. Ramlee juga mempunyai seorang adik-beradik tiri iaitu Syeikh Ali melalui ibu yang sama.

Rumah P Ramlee 16

Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampung Jawa dan Sekolah Kebangsaan Francis Light. Seterusnya, beliau menyambung pelajaran di Penang Free School sehingga meletusnya Perang Dunia Kedua. Ketika pendudukan tentera Jepun di Tanah Melayu, beliau belajar di Sekolah Tentera Laut Jepun sebelum kembali ke Penang Free School apabila perang tamat.

Permulaan kerjaya seni

Beliau mula bermain peralatan muzik yang bernama ukulele dan akhirnya beralih kepada gitar dan biola di bawah bimbingan Encik Kamaruddin yang merupakan seorang pemimpin brass band di Penang Free School. Beliau juga pernah menyertai Orkes Teruna Sekampung dan kemudian Sinaran Bintang Sore. Beliau pernah menjadi juara bagi pertandingan nyanyian anjuran Radio Pulau Pinang pada tahun 1947 dan terpilih sebagai Bintang Penyanyi Utama Malaya. Dalam pertandingan itu, beliau menggunakan huruf “P” (bagi Puteh) di awal namanya dan nama “P. Ramlee” itu kekal hingga ke akhir hayatnya.

Filem pertama lakonan P. Ramlee ialah Chinta, sebuah filem yang dikeluarkan pada tahun 1948. Beliau memegang peranan sebagai penjahat dan nyanyian latar. Kejayaannya terus berkembang dan telah berjaya berlakon di dalam 27 buah filem di antara tahun 1948 hingga 1955. Salah seorang pendorong dan guru beliau dalam dunia perfileman Melayu ialah Tan Sri L. Krishnan yang merupakan pengarah bagi filem Melayu sekitar tahun 1950-an hingga 1960-an. Gaya lakonan beliau yang amat berjaya itu adalah hasil inspirasi daripada dua pelakon yang terkenal dari India Selatan iaitu MGR dan Sivaji Ganesan. Filem terakhir lakonan beliau ialah Laxmana Do Re Mi pada tahun 1972 manakala lagu dan lirik terakhirnya ialah Air Mata di Kuala Lumpur pada tahun 1973 sebelum beliau menghembuskan nafas terakhirnya.

Perkahwinan

P. Ramlee & Saloma

P. Ramlee pernah berkahwin tiga kali. Kali pertama beliau berkahwin dengan Junaidah Daeng Harris pada 1950 tetapi perkahwinan mereka menemui kegagalan pada tahun 1954. Perkahwinan kedua beliau adalah dengan Noorizan Mohd. Noor pada 6 Februari 1955 yang merupakan seorang kerabat diraja bagi negeri Perak yang sanggup meninggalkan kehidupan di istana demi cintanya itu. Walaubagaimanapun, Norizan mengharapkan sesuatu yang lebih dari perkahwinan mereka tetapi beliau lebih menumpukan hidupnya kepada kerjaya seni yang menyebabkan perkahwinan mereka berakhir pada tahun 1961. Kali terakhir adalah dengan Saloma pada 21 November 1961 dalam satu majlis yang sangat sederhana bersama rakan-rakan terdekatnya.

Wanita yang mencintai beliau mempunyai sebab-sebab yang berbeza. Isteri pertama beliau, Junaidah, menyintainya ketika masih belum terkenal. Seterusnya, Norizan pula mencintainya sebagai seorang seniman dan pembikin filem yang terkenal. Walaubagaimanapun, Saloma mencintainya dengan seadanya iaitu sebagai seorang seniman dan sebagai seorang yang biasa. Perkara ini yang menyebabkan Saloma menjadi teman hidup sehati sejiwa beliau sehingga ke akhir hayat.

Anak-anak

P. Ramlee mempunyai ramai anak yang dijaga beliau dan tetapi hanya dua orang sahaja yang merupakan anak kandungnya hasil perkahwinan beliau dengan Junaidah. Anak-anak beliau banyak membantu beliau dalam kerja seperti menjadi penyanyi latar kanak-kanak (contohnya lagu Tolong Kami Bantu Kami daripada filem Tiga Abdul) dan pelakon kanak-kanak tambahan (contohnya Sazali yang berlakon sebagai anak pekerja ladang dalam Anak Bapak). Berikut merupakan anak-anak yang pernah dijaga beliau:

  1. Mohd Nasir : Anak kandung bersama Junaidah (1953-2008)
  2. Arfan : Anak kandung bersama Junaidah (1954-1998)
  3. Sazali : Anak angkat (lahir 1958)
  4. Abdul Rahman : Anak tiri (anak Junaidah)
  5. Norma : Anak tiri (anak Noorizan)
  6. Armali : Anak tiri (anak Saloma dan A.R.Tompel)
  7. Betty : Anak angkat
  8. Zakiah @ Zazaloma : Anak angkat (lahir 1963)
  9. Sabaruddin @ Badin : Anak angkat (1966-2007)
  10. Salfarina @ Dian : Anak angkat (keturunan Cina)

Penghargaan selepas pemergian

P. Ramlee menerima Pingat Kebesaran Ahli Mangku Negara(A.M.N.) daripada Tuanku Syed Putra ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail (Yang di-Pertuan Agong Ke-3)

P. Ramlee telah kembali ke Rahmatullah pada pagi Selasa yang bertarikh 29 Mei 1973 ketika berusia 44 tahun dan jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang Kuala Lumpur. Bagi mengenang jasa dan sumbangannya, beliau telah dianugerahkan Bintang Kebesaran Darjah Panglima Setia Mahkota oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada tahun 1990 yang membawa gelaran Tan Sri. Selain itu rumah terakhir beliau di Jalan Dedap, Setapak telah diubahsuai dan dijadikan sebagai Pustaka Peringatan P Ramlee pada tahun 1986. Manakala di tengah pusat bandar raya Kuala Lumpur namanya turut diabadikan pada sebatang jalan iaitu Jalan P. Ramlee (dahulunya Jalan Parry) pada tahun 1982. Di Kuching juga ada sebatang jalan yg dinamakan Jalan P. Ramlee. Beliau turut mendapat penghargaan doktor falsafah dalam bidang seni persembahan pada tahun 2005 yang membawa gelaran “doktor”. Beliau juga diberi penghormatan oleh Kerajaan Negeri Sarawak dengan penganugerahan Darjah Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak atau Datuk Amar Bintang Kenyalang (Posthumous) (DA (P)) pada 2009. Anugerah tersebut telah disampaikan kepada anak angkat beliau iaitu Dian P. Ramlee.

Kemudian, sempena 50 tahun kemerdekaan Malaysia iaitu pada tahun 2007, beliau telah terpilih sebagai 10 calon terakhir bagi program Anak Gemilang Malaysia yang mengiktiraf rakyat Malaysia yang banyak memberi sumbangan kepada negara dan kejayaan dalam menaikkan nama negara di mata dunia.

Pada tahun yang sama, kisah hidup beliau juga telah dipentaskan dalam satu pementasan teater muzikal dengan tajuk P. Ramlee the Musical… Hidup, Cinta dan Inspirasi.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s