MENGATASI CEMBURU DI KALANGAN MADU

MENGATASI CEMBURU DI KALANGAN MADUMungkin ada yang rasa topik perbincangan saya kali ini agak kelakar. Ya lah, dah nama pun bermadu, sudah tentulah ada rasa cemburu. Cemburu memang tak boleh dielakkan hatta isteri-isteri Rasulullah SAW pun mempunyai rasa cemburu di kalangan mereka. Walau cemburu adalah penyakit biasa di dalam kehidupan berpoligami namun ianya tidak boleh dibiarkan berlarutan. Sakit cemburu ini perlu dibendung dan diatasi agar ianya tidak membawa padah dan mudharat kepada diri sendiri, suami dan ahli keluarga lainnya.Saya teringat luahan hati seorang kakak dari pantai timur. Cukuplah saya namakan dengan Kak B. Kata Kak B, dia rasa terlalu rendah diri dan amat cemburukan madunya walau hakikatnya dia mengizinkan suaminya menikahi madunya tersebut. Sebabnya, madunya dan suaminya sama-sama mempunyai kerjaya, sedangkan dirinya hanya seorang suri rumah. Malah menurut Kak B, terlalu banyak persamaan antara suaminya dan madunya itu: bulan kelahiran, kegemaran, makanan kesukaan…. hinggakan Kak B merasakan dirinya begitu asing walaupun layanan suami masih sama seperti dulu.

Buat Kak B dan isteri-isteri lain di luar sana yang ditakdirkan mempunyai madu, tak kiralah anda yang pertama, kedua, ketiga atau keempat, ingatlah satu perkara: ANDA JUGA MEMPUNYAI KEISTIMEWAAN YANG TERSENDIRI. Jika anda yang pertama, anda paling istimewa kerana anda adalah wanita pertama yang berjaya merebut hati suami anda hingga anda dijadikan suri hidupnya berbanding jutaan wanita lain yang ada tika itu. Sudah semestinya anda memiliki keistimewaan tersendiri yang membuatkan suami anda memilih anda. JANGAN SALAH SANGKA, walaupun ada wanita lain hadir di antara anda dan suami anda, tidak bermakna wanita itu lebih istimewa daripada anda. Anda tetap unggul dan istimewa lantaran itulah suami anda memilih untuk memberikan anda seorang madu dan bukannya menceraikan anda walaupun setelah hatinya diusik oleh wanita lain. Yang nyata, suami anda masih memerlukan anda di dalam hidupnya.

Jika anda adalah isteri kedua, ketiga atau keempat, JANGAN BERASA DIRI TERLALU ISTIMEWA. Kedudukan anda dengan isteri sedia ada sebelumnya adalah sama sahaja. Tak kiralah anda lebih berpendidikan, lebih berharta atau berkerjaya menarik atau mungkin terasa lebih cantik dan lebih muda, anda belum layak diiktiraf sebagai lebih istimewa. Hakikatnya, walau di mana pun kedudukan anda, semuanya adalah sama iaitu seorang isteri kepada seorang lelaki. Jadi, anda tak perlu berasa terlalu cemburu dengan madu-madu anda.

Seperti yang saya jelaskan di awal tadi, setiap daripada anda mempunyai keistimewaan yang tersendiri yang membuatkan suami anda memilih anda sebagai teman hidupnya. Mungkin anda pandai memasak, suara anda manja, anda seorang yang kelakar, peramah dan pandai mengambil hati dan entah beribu alasan lagi yang hanya suami anda dan mungkin juga anda mengetahuinya. Kekalkan keistimewaan anda itu dan berusahalah untuk terus menambat hati suami dengan keistimewaan tersebut.

Ingatlah, sifat diri yang peribadi boleh dikekalkan sebaliknya jika anda sekadar menambat hati suami dengan rupa paras yang menawan hati, jangan terkejut jika tiba satu masa, anda dipinggirkan. Rupa paras yang cantik dan bentuk badan yang menarik tidak akan kekal walaupun sekarang ini terdapat beribu produk dan pusat rawatan kecantikan. Anda perlukan sesuatu yang lahir daripada diri dalaman anda untuk kekal istimewa setanding dengan madu-madu anda yang lain. Bila anda sedar keistimewaan diri anda, terimalah juga hakikat bahawa anda dan madu-madu anda juga mempunyai kelemahan yang tersendiri. Atas rasa kesedaran ini, insyaAllah rasa cemburu anda kepada madu-madu anda akan dapat dibendung dan diatasi.

Paling penting juga, anda perlu menganggap madu anda sebagai saudara anda sendiri, sebagai kakak dan adik. Saya tahu, bercakap memang mudah, nak lakukan tu amatlah payah. Hanya yang menghadapi dan mengalaminya sahaja yang tahu. Namun, satu sahaja nasihat saya, anda telah terpilih untuk berkongsi kasih dan hampir merelakan walau dalam keadaan terpaksa, berlapang dadalah menerima hakikat dan kebenaran ini kerana anda memiliki satu persamaan; sama-sama menyayangi dan disayangi seorang lelaki. Jika anda berjaya menanam anggapan tersebut di dalam diri, percayalah, rasa cemburu anda yang ada tikanya akan hadir membabi buta akan dapat dibendung dan diatasi.

Kenapa? Realitinya seorang kakak dan adik akan saling sayang menyayangi dan bantu membantu antara satu sama lain. Ianya bukan satu perkara mustahil. Saya pernah menyaksikan sendiri kesanggupan isteri pertama menjaga madunya yang sedang di dalam tempoh berpantang. Malah komunikasi antara mereka menggunakan bahasa kakak dan adik, tak terasa tika itu saya sedang berhadapan dengan dua wanita yang sedang berkongsi suami, subhanallah. Jangan lupa, di samping segala tindakan tersebut, sentiasalah berdoa agar anda dan madu-madu anda serta suami anda sentiasa dijauhkan daripada hasutan nafsu dan syaitan. Poligami adalah perkara yang harus dan halal di dalam Islam. Melaksanakannya dan redha menerimanya adalah perkara yang dibenci oleh syaitan. Jika anda tersasar walaupun sedikit, syaitan akan mengawal emosi anda dan anda akan dikuasai sepenuhnya oleh nafsu anda, nauzubillah.

Kepada yang berkongsi kasih suami, tahniah kerana terpilih untuk menerima ganjaran indah di akhirat. Laksanakan peranan dan tanggungjawab anda yang sewajarnya dan biarkan suami anda juga melaksanakan tanggungjawabnya yang sewajarnya kerana hak anda adalah sama dengan hak madu anda. Ingatlah, hanya kalian sahaja yang mampu menjadikan suami kalian sebagai suami yang adil di dalam poligami.

ladymorgana
copyright by hazaldin
8888888888888888888888888888888888888888888.
Komen2
Praktik poligami tidak akan dapat terpisah dari sifat cemburu di antara isteri-isteri. Sekalipun suami cuba berlaku adil dari semua segi, tetap saja ada liku-liku yang ditemui oleh isteri-isteri untuk melahirkan rasa cemburu.Untuk menenangkan hati para suami yang berpoligami atau merancang untuk berpoligami, berikut dikemukakan secara ringkas beberapa riwayat sahih tentang sikap cemburu para isteri Rasulullah s.a.w.. Nama isteri tidak akan saya sebut melainkan A, B, C dan seterusnya, kerana yang diinginkan ialah iktibar dan bukannya individu. Riwayat-riwayat ini diceritakan sendiri oleh para isteri tersebut, kebanyakannya selepas kewafatan Nabi s.a.w.. Semoga dengan perkongsian ini ada manfaat yang sama-sama dapat kita perolehi.Kes 1:
Rasulullah s.a.w. berada di rumah isteri A apabila isteri B mengirim sepinggan makanan melalui pelayannya. Setibanya pelayan itu dirumah A, A terus memukul tangan pelayan hingga jatuh pecah pinggan itu dan bertaburan makanan di atas tanah. Rasulullah s.a.w. menghimpun balik makanan dan pinggan itu. Kemudian Rasulullah mengambil pinggan baru dari rumah isteri A dan diberikan kepada pelayan untuk dikembalikan kepada isteri B. [Riwayat al-Bukhari]

Kes 2:
Isteri C memasak satu makanan lalu dibawakan kepada Rasulullah s.a.w. yang ketika itu berada di rumah isteri D. C berkata “Makanlah” tetapi D enggan. Lalu C berkata “Sama ada engkau makan atau aku akan lumurkan makanan ini ke muka kamu!” Namun D tetap menolak. Maka C mencelup tangannya ke dalam makanan itu dan dilumurkan ke muka D.
Rasulullah yang ada di sebelah ketawa, lantas mengambil tangan D seraya berkata “Lumurilah pula wajahnya (wajah C).”
Kemudian terdengar suara ‘Umar r.a. di luar pintu rumah, seperti beliau akan masuk. Lantas Rasulullah segera menyuruh kedua-dua isterinya itu (C dan D) untuk membasuh wajah mereka. [Riwayat Abu Ya’la dengan sanad yang sahih]

Kes 3:
Isteri E pernah menceritakan bahawa dia pernah berkata-kata kepada Rasulullah s.a.w. “Cukuplah engkau begini dan begitu terhadap isteri F”. Apa yang dikatakan oleh isteri E terhadap F amat buruk sehingga baginda bersabda: “Sesungguhnya engkau telah mengatakan kalimat yang jika dicampurkan dengan air laut, nescaya ia akan bercampur dengannya.” [Riwayat Abu Daud]
Diketahui bahawa air laut amat luas lagi banyak kuantitinya sehingga sukar untuk ia dicampuri oleh sesuatu cecair yang lain. Bererti apa yang diperkatakan oleh isteri E amat besar keburukannya, sehingga boleh memberi kesan campuran kepada air laut.

Kes 4:
Isteri G menceritakan, bahawa Rasulullah s.a.w. pada satu malam pernah tiba-tiba hilang dari sisinya. G terus menyangka bahawa baginda telah pergi kepada salah seorang isteri yang lain. G bergegas mencari Rasulullah, namun ternyata baginda beliau temui sedang solat dalam keadaan rukuk atau sujud. Lalu G mengaku kesalahannya dengan berkata “Demi ayah dan ibuku, sesungguhnya engkau berada dalam satu kesibukan sementara aku berada dalam kesibukan yang lain.” [Riwayat Muslim]

Kes 5:
Kisah yang hampir sama, isteri H mendapati Rasulullah bangun keluar dari rumah pada malam hari. H mengikuti Rasulullah secara sembunyi-sembunyi, disangkakan baginda pergi ke rumah salah isteri yang lain. Namun ternyata baginda pergi ke perkuburan al-Baqi’ untuk mendoakan umat Islam yang dikebumikan di sana. [Riwayat Muslim]

Beberapa iktibar dari riwayat-riwayat di atas:

[1] Sifat cemburu di antara para isteri memang sesuatu yang lazim, bahkan akan bermula sebaik saja suami menyatakan hasratnya untuk berpoligami. Maka jika ada di antara suami yang menunggu sifat cemburu isteri pertamanya hilang sebelum dia berpoligami, bererti dia akan melakukan penungguan yang amat lama. Sangat lama.

[2] Demikian juga, para wanita yang dilamar sebagai isteri kedua, ketiga atau keempat, usahlah mengharapkan keredhaan dari isteri-isteri yang sedia dimiliki oleh suami yang melamarnya. Isteri yang redha mungkin ada, tetapi isteri yang cemburu pasti ada.

[3] Dalam riwayat-riwayat yang menerangkan kecemburuan para isteri Rasulullah s.a.w. terhadap satu sama lain, tidak pula saya temui baginda memarahi mereka di atas kecemburuan itu, mahupun memberikan sesuatu reaksi yang negatif. Maka bagi para suami, jika salah seorang isteri cemburu maka pujuklah dan gembirakanlah dia. Jika mereka melampaui batas dalam kecemburuan, maka berilah nasihat peringatan.

Pada waktu yang sama, riwayat-riwayat di atas bukanlah memberi lesen kepada para isteri untuk bersifat cemburu atau melebih-lebihkan sifat cemburu. Ketahuilah bahawa suami tidak senang, tidak suka kepada sifat cemburu. Maka jika isteri-isteri ingin memenangi hati dan kasih sayang suami, minimumkanlah sifat cemburu.

Ibu kepada salah seorang isteri Rasulullah s.a.w. pernah berpesan “Wahai puteriku, tolonglah aku dalam membimbingmu. Demi Allah! Semakin seorang isteri merendahkan diri di sisi suami yang mencintainya sedangkan dia memiliki madu, melainkan suami itu akan banyak cenderung kepadanya” [Riwayat al-Bukhari].

Artikel pinky perintis HQ
88888888888888888888888888888888888888888888888888888888
CERITA ISTERI PERTAMA………
saya adalah isteri pertama,diringkaskan cerita,saya mengetahui suami berkahwin lagi ketika madu sedang mengandung dua bulan,saya ketika itu penuh rasa benci pada madu,saya hina dia,saya maki dia,saya call dan sms kata2 kesat pada madu,saya tak peduli apa2 pun,asalkan dia tinggalkan suami saya!
saya tidak benarkan suami ke rumah madu dan tidak benarkan bermalam dengan madu,saya tak peduli! saya sanggup silent kan telefon suami ketika malam,saya tak mahu madu menganggu atau minta tolong kalau2 dia mahu melahirkan anak.saya puas kalau dia berada dalam keadaan tertekan,saya mahu dia rasa apa perbuatan dia,rakan2 pernah beritahu dia ternampak madu pada 4 pagi di kedai makan seorang diri,saya memang puas,mungkin dia lapar pada malam tu,pada hari dia melahirkan anak,saya kirimkan sms,dengan harapan,dia tak akan ada lagi dalam dunia ni,suami menemani madu sepanjang hari dia melahirkan bayi,sedangkan saya di rumah menjerit2 suruh suami balik ke rumah atau ceraikan saya,suami tergesa2 balik dan malam tu dia ke hospital lagi tanpa pengetahuan saya,sepanjang berpantang,saya terus menganggu madu,saya beri baju2 untuk dibasuh dan di iron,saya suruh dia masak untuk anak2 saya,saya sekat pergerakkan suami,
bagusnya madu saya,semuanya dia lakukan juga untuk mengambil hati saya,kalau saya dapat tahu suami ke madu,saya akan maki suami dan kami akan bergaduh besar,satu hari madu menghubungi saya,dia cakap”apa sebenarnya yang akak mahukan dari saya,tolong jangan buat abg macam tu” sedap dia bercakap,kenapa ambil suami saya,kenapa dia rosakkan kebahagiaan saya,saya kata kalau dah tak tahan tinggalkan suami saya,ketika itu saya bermadu dengannya selama 2 tahun,pagi tu suami beritahu dia telah menceraikan madu saya kerana madu ketika itu menghilangkan diri dengan anak..syaratnya,ceraikan dia dan dia akan balik,pertama kali saya lihat suami menangis,tapi saya tetap merasa puas
,sejak dari tu saya lihat suami banyak termenung,kerap kali beritahu dia terlalu menyayangi saya dan bekas madu saya,tapi setelah beberapa bulan,saya lihat suami riang ketawa,saya cuba siasat,rupanya dalam diam suami pergi pada janda dia,perempuan tu benar2 berubah,melawan saya dan meninggikan suara,dia melakukan maksiat dengan suami saya,apa saja panggilan dan  sms saya,tidak lagi dia kisahkan,saya merasa gerun,saya lihat suami ke arah sesat di atas perbuatan saya sendiri,saya menyuruh suami nikahi semula jandanya dan hidup bangkit semula,sama2 memperbaiki kesilapan diri
saya menemui madu saya setelah mereka nikah semula,saya menangis dibelakang mereka,hati saya cukup terluka tapi saya memikirkan tentang kebahagiaan suami dan sedar madu adalah sebahagian dari hidupnya,teringat dulu suami sering kali demam dan saya rasai dahinya sangat panas ketika dia terlena,sering teringat anak dan bekas isterinya,sekeras hati saya,akhirnya saya lemah sendiri,bila saya tenung wajah madu saya,saya lihat,wajahnya sangat lembut,manis dan suka menghiburkan hati suami saya,suami selalu ketawa bahagia,dadanya lapang,saya terima takdir dari allah dan menerima hakikat saya bermadu..dan jodoh itu memang sesuai buat suami kesayangan saya..
Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s