BER 3_ 2

Tengah hari Jumaat lalu, saya dihubungi seorang kawan. Bermula dengan SMS tetapi seperti tidak cukup puas, dia akhirnya mahu bercakap juga dengan saya. Teruja sungguh nampaknya dia baca Kelab 40 hari itu.
“Hang nak lagi info pasal poligami? Aku boleh bagi,” katanya.
“Nak sangat la, apa lagi direct from the horses mouth. Kalau hang nak tulis, pun aku bagi,” kata saya.
Kawan saya itu memangnya beristeri dua. Selain banknya yang saya ketahui besar, teguh dan peramah, saya percaya dalam aspek lain pun dia lebih daripada mampu. Bukan seperti saya yang setakat mahu tetapi tidak mampu, malah tidak laku. Bukan tak pernah cuba!
“Macam nilah, hal poligami ni, bukan semua orang boleh. Bukan aku nak kata aku ni hebat sangat tapi TUHAN pun dah kata, kalau tak mampu, cukuplah dengan satu. Kalau kita tengok balik, ustaz-ustaz pun bukan semua berani cakap hal poligami.
Cakap pun tak ‘lepas’ jangan kata nak buat,” katanya.
Walaupun kami selalu berjumpa tetapi saya tidak tahu mengapa hari itu dia memilih untuk ‘berceramah’ kepada saya melalui telefon. Barang kali dia sudah tidak sabar untuk melepaskan apa yang sudah lama terperangkap di dalam dadanya, sudah tentu kerana tulisan saya hari itu yang bertajuk ‘Abah tak pening ada dua isteri?’ ada hubung kait dengan dirinya.
Kemudian kata kawan saya, dia terima takdir hidupnya untuk berpoligami, selain tanggungjawab kepada kedua-dua isteri serta anak-anak, juga sebagai tugas untuk dia menyampaikan kepada dunia akan hikmah perkahwinan itu.
“Poligami bukan sesuatu yang buruk. Itu yang aku nak bagi tahu. Tapi tak semua orang yang boleh bercakap hal ini,” katanya.

Perbualan kami bagaimanapun tidak boleh berlangsung lama kerana ketika itu saya sedang bersiap-siap hendak ke masjid. Kami berjanji untuk bertemu dan bercerita sambil pekena teh tarik esoknya. Lebih seronok.
Tetapi sebelum tamatkan perbualan, saya mengingatkan rakan itu: “Aku hanya boleh dengar saja, sebagai ahli kelab penyokong. Aku tak layak pun nak masuk kelab hang pa.”
Dalam perjalanan ke masjid, saya teringat kata-katanya: “Bukan semua orang boleh bercakap hal poligami, ustaz-ustaz pun bukan semua ‘lepas’.”
Teringat pula beberapa tahun lalu, saya terima amanah yang sangat berat – sampaikan kepada isteri seorang kawan yang baru meninggal dunia bahawa arwah ada seorang lagi isteri.
Kawan saya itu pula bukan sembarangan orang. Dia ustaz di pejabat agama, yang kerjanya berceramah hal rumah tangga.
Selepas dia meninggal, saya dihubungi seorang wanita yang mengaku isteri kedua ustaz itu. Dia minta saya sampaikan kepada madunya bahawa dia tidak mahu sebarang harta pusaka arwah, walau sesen pun.
Katanya, pernikahan mereka hanya untuk menghalalkan pertemuan bagi membolehkan dia mendalami Islam. Wanita itu seorang mualaf.
Esoknya, saya ke rumah arwah dengan membawa Gunung Kinabalu di atas kepala. Tidak cukup satu kepala, saya ajak isteri sama menjunjung. Beratnya seolah-olah saya sedang bawa bakal isteri untuk bertemu bakal madunya buat pertama kali.

Di rumah arwah, saya bergagah untuk beritahu apa yang perlu disampaikan. Isteri pula sudah siap siaga. Adanya dia, boleh tolong tenteramkan kalau-kalau berlaku adegan tak diingini.
Tetapi yang saya betul-betul kagum, balu arwah yang saya panggil ‘Kakak’ itu cukup tenang hadapi situasi itu. Walaupun menangis, dia bijak sembunyi air mata. Bayangkan, suami sudah tiada, baru tahu dirinya bermadu.
Minta dijauhkan isteri saya dari situasi itu. Setidak-tidaknya, biarlah dia tahu ketika saya masih ada.
Kakak kemudian bertanya: “Siapa nama dia, Mat?”
Selepas saya beritahu, agak mengejutkan apabila dia berkata: “Betullah!”
Lalu saya tanya: “Kakak dah tahu?”
“Baru semalam, semasa mengemas barang arwah, saya jumpa diari dia. Banyak sajak dalam diari dia sebut nama itu…”
“Oh!”
Walau apa pun, ‘Kakak’ minta saya jangan tulis sebarang berita mengenai hal itu.
“Sebab arwah pun dah tak ada, nanti takut anak-anak kecil hati sedangkan dia sudah tak ada,” katanya.
Lagi sekali saya berasa teramat kagum kepada ‘Kakak’.
Dalam perjalanan pulang, saya beritahu isteri akan perasaan saya berhadapan dengan situasi tadi.
“Saya pastikan awak tak akan hadapi nasib seperti itu.”
Isteri tersenyum.
Kemudian saya berkata lagi: “Sekurang-kurangnya, kalau pun jadi, awak akan tahu ketika saya masih ada lagi…”
“Apa????”
Dan sepanjang perjalanan itu, saya terpaksa menjunjung Everest pula di atas kepala.

penulis:Muhammad Mat Yakim

copyright by hazaldin
Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s