SUAMI BANTU PERASAAN ISTERI

Pada pertemuan pagi hujung minggu itu, dua orang isteri berkongsi pandangan dan perasaan tentang poligami. Sementelahan saya menyokong pandangan yang menganjurkan poligami, saya merasa senang dengan kesediaan mereka melibatkan diri dengan alam poligami.
Isteri A berkata, dia dan suami berusaha mengukuhkan ekonomi dan telah melihat-lihat calon isteri kedua dari kalangan teman-teman kami yang masih bujang. Dia berpandangan, moga poligami yang dirancang memberi maslahat jangka panjang bukan sahaja untuk peribadi, tetapi juga untuk ummah.
Isteri B juga menyatakan kesediaan menerima poligami dan moga benar-benar semua pihak yang terlibat ( suami dan isteri-isteri) memperdalamkan niat semata mata kerana Allah.
Tentang ekonomi, benar sekali, sama-samalah kita meneguhkannya dengan usaha dan doa.. Perkahwinan di alaf ini samaada poligami atau monogami, tidak sedikit yang terancam kerana cabaran kewangan yang tak kunjung sudah.
Kedua-dua teman saya A dan B adalah antara isteri isteri yang dalam proses menjemput kehadiran wanita kedua dalam hidup suami masing masing.
 Mengenali secara jauh suami mereka, saya mendoakan agar satu hari nanti mereka diberi pimpinan dan bantuan oleh Allah untuk memikul amanah perkahwinan bernama poligami.
Ada juga isteri-isteri lain yang berkongsi dengan saya tentang kesudian mereka berkongsi suami… Buat para isteri yang punya kesediaan dan perancangan menyokong suami bernikah lagi, apakah antara bentuk bantuan yang boleh diberi pada suami yang kita cintai…?
Saya kongsikan sedikit berdasarkan pembacaan, pengalaman, dan perkongsian dengan teman-teman yang berpoligami.
Pertama sekali, tentunya sokongan isteri dalam bentuk kesediaan dan keterbukaan untuk bercerita tentang poligami. Suami perlu memberi pendedahan bertahap-tahap jika isteri tidak begitu cenderung. Bagi isteri yang cenderung pada poligami, boleh bertukar pandangan dan perasaan tentang hal-hal yang berkaitan.
Pastinya dalam proses mendorong dan menyokong suami berpoligami, ada rasa cemburu bertandang.. Jadikan komunikasikan dengan Allah, jua pada suami dalam suasana yang tak memberatkan…
Seterusnya, mungkin boleh bertanya pada suami, siapakah calon yang suami dah ada atau berminat – yang suami kenali di tempat kerja atau program luar… Jika tiada, mungkin isteri boleh cadangkan calon-calon yang dirasakan sesuai.
Seterusnya, isteri boleh membantu suami bertaaruf dengan calon isteri. Saya pernah menemani tiga orang teman yang dilamar menjadi isteri kedua dalam proses taarufnya. Kehadiran isteri sangat membantu sesi perkenalan yang telus.
Mungkin seterusnya isteri boleh mendekati calon isteri kedua untuk memberi gambaran yang lebih baik tentang suami dan suasana rumahtangga..
Jika calon isteri menerima lamaran, suami isteri perlu berbincang tentang bagaimana menyusun hari giliran dan keperluan -keperluan lain. Isteri sebagai teman terbaik suami boleh memberi pandangan yang membantu suami membuat keputusan paling adil untuk keluarga sedia ada dan keluarga yang bakal dibina. InsyaAllah.
Jika ada perancangan menyewa atau membeli rumah, membeli kereta mahupun barangan asas lain untuk isteri baru kelak, suami sangat menghargai bilamana isteri boleh membantu mana yang perlu.
Semakin menghampiri tarikh pernikahan, boleh juga isteri membantu suami mengemas pakaian dan keperluan lain di rumah baru kelak.
Dalam pada itu, sama-sama mengatur perbelanjaan dan kewangan keluarga agar cukup seadanya untuk berkongsi rezeki dengan bakal famili baru.
Tidak dilupa, sama-sama beriadah dengan suami agar kita semua menjadi suami isteri yang cergas samaada berpoligami atau tidak.. Menjaga pemakanan dan memperbanyak aktiviti fizikal adalah ramuan penting untuk rumahtangga yang harmonis.
Yang terakhir buat kali ini, jangan lupa berdoa. Sesungguhnya pada doa, ada harapan yang menenangkan dan melahirkan keyakinan. Doalah, minta dipermudahkan andai poligami ini baik untuk kehidupan dunia dan akhirat kita dan suami. Mohonlah keberkatan, petunjuk dan bimbingan tuhan buat menelusuri ujian kehidupan di alam perkahwinan.
Bila kita sebagai isteri menjadi teman berbincang, menjadi teman yang tulus menghulur bantuan, menjadi teman yang menghiburkan, menjadi teman yang memahami perasaan pasangan – pasti makin subur cinta sayang suami pada isteri yang memudahkan urusannya bernikah lagi..
InsyaAllah moga Allah menitipkan semurni keikhlasan di hati kita dalam membantu suami dan muslimah lain bernikah..
Di kesempatan yang lain, saya akan kongsikan juga bagaimana suami pula boleh membantu isteri menempuh alam poligami..insyaAllah.
888888888888888888888888888888888888888888888888888
BANTU SUAMI  BERPOLIGAMI

Salah satu emel yang diterima saya berkaitan poligami ialah, seorang isteri mengadu bahawa suaminya tidak menjaga hatinya sebagai isteri pertama. Suaminya sering pulang ke rumah lewat kerana keluar bersama bakal isteri kedua selepas waktu pejabat. Malah yang lebih menyedihkan, sewaktu masa peribadi di atas katil di dalam bilik, suami meminta isteri mengurut-ngurut badan namun suami sibuk menatap skrin handphone chatting dengan calon isteri kedua itu.

Hati isteri itu terluka. Ya, hati mana-mana isteri pun terluka dengan tindakan sebegitu. Katanya, walaupun dirinya berusaha menerima hasrat suami berpoligami dengan baik, namun tingkah suami benar-benar meruntuhkan keikhlasan dan keredhaan. Pada pandangan saya, isteri perlu mengambil langkah menegur dan menyuarakan rasa tidak senang hati dengan situasi sebegitu, mudah-mudahan suami akan lebih sensitif di waktu lain.

Para suami yang dirahmati ALLAH, moga kita lebih sensitif menjaga dan membantu perasaan isteri dalam kita merancang untuk bernikah lagi. Suami membantu meringankan ujian perasaan isteri, isteri juga membantu suami memikul cabaran bernikah lagi.

Saya telah mencoretkan serba sedikit bagaimana isteri boleh membantu suami dalam proses poligami. Sila baca di sini.

Di kesempatan ini, ada beberapa tips yang boleh saya kongsikan khas untuk para suami – dari pengalaman saya apabila suami bernikah lagi – berkaitan bantuan suami dalam membantu perasaan isteri menghadapi poligami. Terima kasih tidak terhingga kepada suami tercinta kami yang berusaha membantu perasaan isteri. Moga ALLAH merahmatimu.

 

  1. Banyakkan berkomunikasi dan jadilah pendengar yang baik – Secara umumnya wanita mendapat kepuasan dalam perhubungan dengan cara bercakap-cakap. Apatah lagi untuk isu sesensitif poligami, isteri sangat berharap suami memahami perasaannya yang amat berliku, berat dan susah diterjemahkan. Bila isteri dapat meluahkan, ia sangat meringankan perasaan yang bercampur baur – apatah lagi apabila isteri merasakan suami mendengar penuh cinta dan perhatian.
  2.  Melibatkan isteri seadanya dalam perancangan dan persediaan – Suami tidak digalakkan merahsiakan melainkan jika ia benar memudaratkan isteri dan rumahtangga. Sekalipun berat untuk mendengar, isteri tidak boleh diketepikan. Namun dalam berkongsi perancangan bernikah lagi, berhati-hatilah wahai suami. Jika terlebih bercerita, isteri akan meluap-luap rasa cemburu. Jika kurang bercerita, prasangka akan bermaharajalela di fikiran isteri. Berkongsilah secara sederhana – semua ini pastinya dipelajari dari pengalaman.
  3. Menunjukkan cinta dan sayang dengan kata-kata dan perbuatan – Wahai suami, teruskan kebaikan pada isteri sekalipun isteri mula mendingin dengan perancangan poligami. Tambahkan usaha untuk menunjukkan isteri sedia ada bahawa dirinya tetap istimewa dan berharga. Kata-kata cinta bukan untuk si dia yang belum menjadi isteri, tetapi untuk isteri yang setia di sisi. Tunaikan segala tanggungjawab yang lain, mudah-mudahan hati isteri rasa terpujuk dengan kebaikan suami.
  4. Mengekalkan perkara-perkara kecil yang menyuburkan cinta – Keluar bersama, makan berdua atau dengan famili, bersembang mesra secara berhadapan atau atas talian (online), pelukan, ciuman, gurau senda, membantu kerja-kerja rumah seadanya etc- isteri akan merasa tenang dan bersemangat dengan   suami yang tetap membina kedekatan dengan dirinya.
  5. Berterima kasih dan menghargai pengorbanan dan bantuan isteri – Ini adalah antara tindakan suami yang sangat besar di hati saya. Bila bersembang dengan isteri-isteri lain di luar sana, mereka juga berkata, terima kasih dan penghargaan yang diucapkan suami menghilangkan banyak kepenatan isteri menjaga anak, menguruskan rumahtangga, apatah lagi apabila membantu suami bernikah lagi. Ia perkerjaan hati yang melelahkan. Bila suami berterima kasih, isteri pun rasa bersemangat untuk terus memudahkan suami. InsyaALLAH.
  6. Mendoakan keimanan dan kesabaran buat isteri – Mungkin inilah yang paling penting buat suami. Mendekatkan diri kepada ALLAH dan benar-benar memohon kekuasaan ALLAH untuk melancarkan proses berpoligami, untuk menjaga isteri-isteri sedia ada, untuk menguatkan isteri dengan kebaikan, mendoakan isteri dari keburukan nafsu perasasan dan kejahatan bisikan syaitan. Moga ALLAH yang Maha Membolak balikkan Hati melimpahkan rahmat dan inayahNYA buat suami dan isteri-isteri di ambang poligami.
  7. Jangan bicara topik poligami pada waktu sedang berkonflik, ia sangat melukakan dan memberi mesej yang salah kepada isteri. Tidak ada yang lebih meremukkan hati isteri melainkan suami mengungkap untuk berkahwin lagi ketika suami dan isteri sedang bergaduh/berkonflik. Ia seolah suami membuang isteri sedia ada untuk keluar dari masalah dan meninggalkan isteri terkapai-kapai tanpa kekuatan. Namun, dalam situasi tertentu, mungkin bernikah lagi amat perlu untuk suami yang berada dalam konflik rumahtangga yang tak berkesudahan. Ada kupasan yang lain. Wallahu’alam.

 

Demikianlah sebahagian tips yang inshaALLAH relevan, atas nota bahawa semua ini hanya akan sangat membantu apabila saya dan para isteri lain memiliki kefahaman dan kesedaran yang jelas akan manfaat poligami secara individu dan kolektif.

Dan secara teorinya, jika suami melakukan segala tips di atas sekalipun, hanya 10% sahaja suami boleh menyumbang kepada ketenangan dan kelapangan hati isteri dalam menuju poligami.

Lagi 80% kekuatan hati adalah dari hubungan isteri dengan ALLAH (bagaimana interaksi isteri dengan Al Quran Dan As Sunnah).

Manakala lagi 10% adalah persekitaran dan kehadiran support group, samaada dari kalangan teman-teman dan ahli keluarga terdekat. Berada dalam persekitaran (orang-orang) yang bercakap tentang ilmu, tentang akhirat, tentang kasih sayang ALLAH, tentang sikap positif, tentang kebersihan hati  dan yang sewaktu dengannya – segala ini akan sangat meredakan ombak perasaan isteri.

Sekian, Moga bermanfaat.

InsyaALLAH saya akan kongsikan seterusnya nanti – nukilan hati apabila suami saya bernikah lagi dan langkah-langkah menguatkan hati.

artikel dari cahaya menuju hati
copyright by hazaldin

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s