POLIGAMI TAMPA KEBENARAN

poligami-1

Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam bagi setiap negeri di Malaysia telah memperuntukan peraturan yang mesti dipatuhi bagi setiap suami yang ingin berpoligami. Peruntukan ini diwujudkan bagi menghindari agar kemudahan berpoligami yang diharuskan oleh Islam tidak disalahgunakan dan agar tujuan, syarat dan tanggungjawab poligami dipenuhi.

 Walaupun begitu, masih terdapat kaum lelaki Islam di Malaysia ini melanggar peruntukan yang sedia ada walaupun sedia maklum akan peruntukan yang ada ini dengan berpoligami tanpa mendapatkan kebenaran Mahkamah.

Poligami tanpa kebenaran Mahkamah ini bermaksud ialah seorang lelaki yang telah mempunyai isteri telah berkahwin dengan perempuan lain tanpa mendapatkan keizinan secara bertulis dari Mahkamah bagi membenarkan dia berkahwin seorang lagi.

Berdasarkan Sekyen 23 (2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor telah menyatakan bahawa poligami yang dilakukan tanpa kebenaran Mahkamah tidak boleh didaftarkan melainkan Mahkamah berpuas hati bahawa perkahwinan sedemikian sah mengikut Hukum Syarak dan pendaftaran perkahwinan tertakluk di bawah Seksyen 124.

Seksyen 124 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor telah menyatakan bahawa :

“Jika seseorang lelaki berkahwin lagi di mana-mana jua pun dalam masa perkahwinannya yang sedia ada masih berterusan tanpa kebenaran secara bertulis terlebih dahulu daripada Mahkamah maka dia adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya denda dan penjara itu.”

Berdasarkan peruntukan di atas menunjukkan poligami tanpa kebenaran Mahkamah adalah merupakan satu kesalahan dan mematuhi peraturan-peraturan untuk permohonan kebenaran poligami adalah satu perkara yang penting bagi menjamin keadilan dapat dilaksanakan serta kebajikan semua isteri akan terpelihara.

PROSEDUR PENDAFTARAN NIKAH POLIGAMI TANPA KEBENARAN

Peraturan ketat yang terdapat dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam berkaitan poligami telah menyebabkan pihak suami mengambil jalan mudah untuk berkahwin dengan perempuan lain iaitu dengan bernikah di negara lain tanpa kebenaran Mahkamah Syariah. Negara yang sering menjadi tumpuan untuk melaksanakan tujuan mereka ini ialah di Thailand dan Indonesia

.

Seksyen 23 (2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor memperuntukkan perkahwinan poligami tanpa kebenaran Mahkamah tidak boleh didaftarkan melainkan setelah Mahkamah berpuas hati bahawa perkahwinan itu sah mengikut Hukum Syarak.

Prosedur pendaftaran poligami tanpa kebenaran mahkamah di Negeri Selangor dimulakan dengan pihak-pihak membuat laporan berkaitan perkahwinan tersebut di Pejabat Agama Islam di mana sepatutnya perkahwinan itu berlaku. Siasatan akan dibuat oleh Pejabat Agama Islam dan kes tersebut akan di panjangkan ke bahagian pendakwaan untuk proses pendakwaan. Pendakwa pula akan membawa kes tersebut kepada Hakim Syar’ie untuk disahkan.

Prosedur selanjutnya Hakim Syarie akan memanggil pasangan berkenaan dengan dua orang saksi bagi mengukuhkan ketarangan pasangan tersebut. Di peringkat ini, mahkamah akan menetapkan sama ada perkahwinan sebagai sah atau terbatal. Setelah penentuan kesahan perkahwinan, kes akan dibawa semula ke unit pendakwaan. Pendakwa akan menjalankan siasatan dan meneruskan pendakwaan ke atas pasangan tersebut atas pertuduhan berpoligami tanpa kebenaran. Jika sabit kesalahan, pasangan akan dikenakan penalti. Setelah selesai pendakwaan, pihak-pihak hendaklah menfailkan permohonan pendaftaran nikah di Mahkamah Tinggi Syariah.

 Seksyen 23 (9) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor perlulah dipatuhi, iaitu peraturan pendaftaran perkahwinan itu mestilah sama dengan mana-mana perkahwinan yang didaftarkan di bawah Enakmen Undang-Undang Keluarga negeri-negeri. Ini bermakna sebelum Mahkamah mengesahkan dan mendaftarkan perkahwinan poligami yang dilaksanakan di luar negara maka Seksyen 23 (4) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor perlulah dipatuhi terlebih dahulu iaitu dengan memanggil isteri yang sedia ada dan isteri yang baru dikahwini untuk hadir. Secara tidak langsung ia dapat mengelakkan suami daripada menyembunyikan perkahwinan yang baru itu dari isteri yang sedia ada dan membolehkan remedi-remedi yang diperuntukkan di bawah Seksyen 23 (10) seperti pembayaran nafkah dan pembahagian harta sepencarian dapat dilaksanakan

FAKTOR POLIGAMI TANPA KEBENARAN MAHKAMAH

Peruntukan-peruntukan yang terdapat dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam negeri-negeri berkaitan dengan permohonan poligami adalah merupakan prosedur yang perlu diikuti oleh sesiapa sahaja yang ingin berkahwin lebih dari satu. Peruntukan ini bertujuan untuk memastikan bahawa poligami tidak dilakukan dengan sewenang-wenangnya, namun peruntukan ini belum berjaya mencapai matlamat sepenuhnya kerana masih ada golongan suami yang melanggar peruntukan yang ada ini dengan berpoligami tanpa izin mahkamah.

Antara  faktor berlakunya perkahwinan poligami tanpa kebenaran ialah :

  1. Prosedur permohonan poligami yang ketat

Peraturan yang terdapat dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam negeri-negeri sering kali dilihat sebagai sesuatu yang rumit dan membebankan bagi sesetengah suami. Ini kerana, mereka menganggap proses poligami akan memakan masa dan amat merumitkan. Dengan sebab ini, mereka mengambil jalan mudah dengan bernikah di negara lain tanpa kebenaran Mahkamah Syariah (Najibah Mohd Zin et al 2007:58).

Sesungguhnya undang-undang yang ada ini bukanlah untuk menyusahkan mana-mana pihak tetapi undang-undang yang ada ini adalah merupakan undang-undang pentadbiran yang bertujuan untuk mentadbir proses poligami agar teratur, licin dan menepati tujuan dan syarat berpoligami. Orang yang diberikan amanah untuk memberi kata putus di dalam perkara ini adalah Hakim yang memang merupakan orang yang berwibawa di dalam perkara ini. Bagi pihak yang tidak berpuas hati terhadap keputusan Hakim masih berpeluang membuat rayuan ke Mahkamah yang lebih tinggi. Proses ini sebenarnya bertujuan memastikan yang keputusan Mahkamah walaupun di dalam perkara poligami ini adalah merupakan keputusan yang adil dan matang serta jauh dari dari dorongan perasaan atau keinginan nafsu kerana adanya sistem rayuan terhadap keputusan Mahkamah (Ahmad Ibrahim 1998 : 80).

  1. Dakwaan bahawa peruntukan yang ada bertentangan dengan Hukum Syarak

Terdapat juga sesetengah pihak berpendapat bahawa peruntukan yang ada ini bertentangan dengan Hukum Syarak yang menghalalkan poligami. Undang-undang yang ada menyekat suami dari berkahwin lebih dari satu sedangkan ianya telah dihalalkan oleh Islam. Ini menyebabkan pihak suami menganggap bahawa mereka boleh melakukan poligami tanpa keizinan dari pihak Mahkamah.

Pendapat ini kurang tepat kerana tujuan undang-undang tadi diwujudkan adalah bukan untuk menyekat dan mengharamkan poligami, tetapi ianya bertujuan untuk memastikan yang ianya tidak disalahgunakan yang akhirnya mendatangkan kezaliman kepada isteri-isteri dan anak-anak, memudaratkan hidup mereka dan merosakkan pendidikan dan psikologi anak-anak mereka (Ahmad Ibrahim1998 : 80).

Peruntukan yang ada ini juga adalah bagi memastikan keadilan kepada isteri sebagaimana yang telah dinyatakan dalam Surah al-Nisa’ ayat 3 yang menyatakan dengan jelas jika suami tidak dapat berlaku adil dan memudaratkan isteri maka mereka diarahkan beristeri hanya seorang sahaja. Maka peruntukan yang terdapat dalam enakmen negeri-negeri ini tidak bertentangan dengan Hukum Syarak kerana peruntukan yang ada ini adalah bagi memastikan keadilan bagi pihak isteri.

  1. Tidak mendapat kebenaran isteri

Antara faktor yang menyebabkan pihak suami berpoligami tanpa izin mahkamah adalah kerana tidak mendapat keizinan isteri atau isteri-isteri sedia ada. Berdasarkan Seksyen 24 (4) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor ada menyatakan mengenai keizinan dan pandangan daripada isteri-isteri yang sedia ada terhadap perkahwinan yang dicadangkan itu.

Persoalan keizinan isteri pertama ini telah menjadi isu hangat pada suatu ketika dahulu terutamanya apabila negeri Perlis melonggarkan syarat berpoligami di negeri itu termasuklah membenarkan poligami tanpa perlu merujuk kepada pandangan isteri pertama. Kelonggaran ini telah mendapat bantahan pihak NGO wanita kerana langkah itu menghina kaum wanita. Menurut Mufti Perlis, tujuan utama kelonggaran syarat berpoligami itu adalah untuk menghentikan amalan rakyat Malaysia lari berkahwin di negeri lain terutamanya di Selatan Thailand (Najibah Mohd Zin et al 2007:47).

Menurut Hukum Syarak, syarat yang memerlukan izin isteri yang pertama untuk berpoligami adalah tidak mutlak. Walaupun begitu, masalah ini telah diselesaikan dengan adanya peruntukan lain dalam Akta dan Enakmen Undang-Undang Keluarga negeri-negeri yang menghendaki Mahkamah memanggil pemohon dan isteri atau isteri-isteri sedia ada hadir ke Mahkamah untuk memberikan keterangan secara tertutup tentang perkahwinan yang dicadangkan apabila permohonan berpoligami diterima oleh Mahkamah. Secara tidak langsung, permohonan pihak suami masih tertakluk pada pandangan isteri dalam menentukan sama ada pemohon layak berpoligami atau sebaliknya. Di sini menunjukkan kepentingan dan keperluan pihak isteri untuk hadir ke Mahkamah dalam menentukan suami benar-benar layak atau tidak untuk berpoligami (Najibah Mohd Zin et al 2007:47-48).

Walaupun suami mendapat keizinan isteri yang sedia ada untuk berpoligami namun Mahkamah tetap mengambil kira faktor kelayakan suami untuk berkahwin lagi. Ini kerana terdapat kes yang mana Mahkamah menolak permohonan poligami walaupun telah mendapat keizinan isteri pertama kerana suami gagal membuktikan bahawa dia berkemampuan untuk beristeri lebih dari seorang. Sesungguhnya keizinan dari pihak isteri bukanlah terus membolehkan pihak suami berpoligami tetapi ianya sebagai syarat untuk mendapatkan keterangan isteri dan membantu Mahkamah dalam memutuskan pihak suami layak atau tidak berpoligami.

  1. Permohonan poligami ditolak

Faktor berlakunya poligami tanpa izin Mahkamah juga ialah disebabkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran bertulis dari mahkamah untuk berpoligami telah ditolak kerana Mahkamah dapati bahawa pemohon tidak layak dan tidak mampu untuk beristeri seorang lagi. Ini menyebabkan mereka mengambil jalan mudah dengan berkahwin di negara lain tanpa kebenaran Mahkamah Syariah.

KESAN POLIGAMI TANPA KEBENARAN MAHKAMAH

Poligami tanpa kebenaran Mahkamah akan mengakibatkan beberapa kesan antaranya ialah :

  1. Kesan dari sudut undang-undang

Mengikut peruntukan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor di bawah Seksyen 124 menyatakan dengan jelas bahawa suami yang berpoligami tanpa mendapat kebenaran bertulis dari mahkamah maka dianggap telah melakukan kesalahan dan boleh dikenakan penalti iaitu denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya denda dan penjara.

      Suami yang berpoligami tanpa kebenaran Mahkamah juga mestilah memulangkan dengan serta-merta semua jumlah mas kahwin dan pemberian kepada isteri yang sedia ada sekiranya masih belum dijelaskan semasa akad nikah dan jika suami gagal berbuat demikian, jumlah tersebut boleh dituntut sebagai hutang oleh isteri sedia ada. Mungkin pada masa ini jarang berlaku mas kahwin dan pemberian yang tidak dijelaskan semasa majlis akad nikah. Walau bagaimanapun, sekiranya berlaku ia tetap dianggap hutang terutama mas kahwin kerana mengikut Hukum Syarak, wajib bagi seorang suami untuk membayarnya dan merupakan hak eksklusif seorang isteri yang tidak boleh diambil oleh suami (Najibah Mohd Zin et al 2007:60).

  1. Kesan kepada institusi keluarga

Poligami tanpa kebenaran Mahkamah ini biasanya dilakukan tanpa pengetahuan isteri sedia ada atau anak-anak. Oleh itu, tanggungjawab dan hak yang sepatutnya dilaksanakan tidak dapat disempurnakan sebaik mungkin kerana suami dan isteri kedua terpaksa hidup dalam buruan. Pasangan ini tidak dapat untuk memupuk kasih sayang dalam keadaan biasa kerana takut perkahwinan mereka diketahui oleh isteri pertama.

        Kesan berpoligami secara rahsia ini juga boleh menyumbang kepada kadar perceraian kerana isteri rasa ditipu dan dikhianati oleh suami sendiri. Ini mungkin juga disebabkan oleh sikap suami yang mula mengabaikan tanggungjawabnya selepas beristeri baru (Najibah Mohd Zin et al 2007:34).

  1. Kesan kepada pasangan

Poligami yang dilakukan tanpa kebenaran Mahkamah biasanya akan mendatangkan kesan yang rumit terutamanya jika berlakunya perceraian kerana perkahwinan ini tidak memenuhi peruntukan Akta dan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam negeri-negeri.

 Perkahwinan tanpa kebenaran ini tidak semestinya tidak sah kerana ia mungkin telah memenuhi kehendak rukun dan syarat-syarat Hukum Syarak. Walau bagaimanapun sekiranya perkahwinan itu didapati tidak sah, maka pasangan akan difaraqkan (dipisahkan) dan akan dikenakan penalti. Selain itu, isteri juga tidak dapat menuntut sebarang hak dalam perkahwinan seperti tuntutan nafkah isteri dan anak-anak, hak penjagaan, tuntutan harta pusaka sekiranya suami meninggal dunia dan sebagainya. Pihak perempuan juga tidak boleh memohon pembubaran perkahwinan kerana perkahwinan memang tidak wujud dari awal lagi (Najibah Mohd Zin et al 2007:32).

  1. Kesan kepada anak-anak

Sah atau tidak perkahwinan poligami tanpa kebenaran Mahkamah perlu ditentukan terlebih dahulu sebelum perkahwinan itu boleh didaftarkan di bawah Akta atau Enakmen yang berkuatkuasa. Penentuan kesahan perkahwinan ini akan menimbulkan isu berkenaan kedudukan anak-anak yang lahir hasil daripada perhubungan itu.  Jika perkahwinan poligami tanpa kebenaran ini diputuskan oleh Mahkamah sebagai tidak sah, anak-anak yang dilahirkan adalah dianggap anak luar nikah yang mana status hubungannya dengan “bapa” tidak wujud sama sekali. Akibatnya, anak-anak ini akan menghadapi pelbagai masalah di masa hadapan

RUJUKAN:

Najibah Mohd Zin et al. 2007. Undang-Undang Keluarga (Islam). Dewan Bahasa dan Pustaka : Kuala Lumpur.

Ahmad Ibrahim et al. 1998. Al-Ahkam (Undang-Undang Keluarga dan Pentadbiran Harta Wakaf). Dewan Bahasa dan Pustaka : Kuala Lumpur.