SEKOLAH SUKAN MALAYSIA

PENGENALAN SEKOLAH SUKAN MALAYSIA

Hasrat untuk menubuhkan Sekolah Sukan di Malaysia telah mula diuar-uarkan pada akhir tahun 80an. Pada 20 Januari 1988, Jemaah Menteri telah meluluskan Dasar Sukan Negara, satu dokumen komprehensif ke arah kemajuan, perkembangan dan pembangunan sukan negara. Dengan penggubalan Dasar Sukan Negara ini menjadi hasrat dan aspirasi negara untuk mewujudkan masyarakat yang sihat, cergas, bersatu padu, berdisiplin serta produktif dan dalam masa yang sama melahirkan satu generasi ahli sukan yang berwibawa untuk mengharumkan serta mempertingkatkan imej negara di peringkat antarabangsa.

Kementerian Pelajaran pula telah memberi penekanan yang baru terhadap peranan sukan dan aktiviti kokurikulum bagi melahirkan pelajar-pelajar yang seimbang dari segi jasmani, emosi dan intelek. Menyedari betapa pentingnya peranan sukan dalam memupuk perpaduan nasional dan keperluan melahirkan ahli-ahli sukan berkaliber tinggi maka dalam Rancangan Malaysia Ke-5 ( 1991 – 1995 ) perancangan penubuhan Sekolah Sukan telah diluluskan. Sekolah Sukan ini mirip kepada Sekolah Berasrama Penuh dengan memberi tumpuan kepada konsep berikut :

  1. Pembangunan atlet murid bertaraf dunia.
  2. Penggunaan tenaga jurulatih profesional
  3. Pengkhususan Sains Sukan merentasi kurikulum
  4. Penekanan sukan sebagai kerjaya.

Pada tahun 1996 Sekolah Sukan Malaysia (SSM) yang pertama dinamakan Sekolah Sukan Bukit Jalil bertempat di dalam Kompleks Sukan Negara. Kejayaaan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ ) menyediakan atlet-atlet untuk Sukan Komanwel telah membawa kepada pembinaan Sekolah Sukan Malaysia yang kedua iaitu Sekolah Sukan Bandar Penawar ( SSBP ) di Kota Tinggi Johor pada tahun 1998.

Seterusnya di dalam usaha Kementerian Pelajaran Malaysia untuk menyediakan peluang dan kesamarataan dalam bidang sukan kepada murid-murid yang berpotensi dalam bidang sukan, kerajaan akan membina tiga buah lagi Sekolah Sukan Malaysia dalam Rancangan Malaysia Ke-9 iaitu di Pahang, Sabah dan Perlis.

DEFINISI SEKOLAH SUKAN MALAYSIA

Sekolah Sukan Malaysia ialah sekolah untuk mengumpul atlet murid yang berpotensi supaya bakat cemerlang sukan dan akademik mereka dapat dipupuk serta dipertingkatkan di bawah bimbingan jurulatih yang berdedikasi serta guru-guru akademik yang terpilih. Melalui pengawasan yang lebih tersusun dan cekap, peningkatan prestasi akademik dan sukan dapat diseimbang dan disepadukan.

Dari aspek pengurusan dan pentadbiran, sekolah ini keseluruhannya mengikut konsep Sekolah Berasrama Penuh yang dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan sukan dan akademik.

CARA KEMASUKAN

  1. Pelajar Sekolah Rendah ( Tahun 5 dan tahun 6 )Kemasukan atlet murid ke SSM adalah melalui proses Kenal Pasti Bakat (Talent Identification, Talent Search, Talent Scouting), dan pencalonan oleh persatuan sukan kebangsaan dan MSN. Tawaran kemasukan ke SSM dibuat sepanjang tahun berdasarkan kekosongan dan keperluan sukan semasa.Pengambilan atlet murid sekolah rendah ke SSM adalah berdasarkan keperluan sukan teras negara.
  2. Pelajar Sekolah Menengah ( Tingkatan 1 – 5 )Kemasukan atlet murid ke SSM adalah melalui proses Kenal Pasti Bakat (Talent Identification, Talent Search, Talent Scouting), dan pencalonan oleh persatuan sukan kebangsaan dan MSN. Tawaran kemasukan ke SSM dibuat sepanjang tahun berdasarkan kekosongan dan keperluan sukan semasa.
    Kelayakan minimum akademik atlet murid yang diterima masuk ke SSM adalah 3C di peringkat UPSR dan 4D di peringkat PMR.
  3. Program PrauniversitiPengambilan atlet murid program prauniversiti adalah berdasarkan kelulusan SPM serta memenuhi syarat-syarat am yang ditetapkan. Mereka yang dipilih terdiri daripada atlet murid yang mewakili negara atau berpotensi mewakili negara dalam masa terdekat. Cara memohon adalah secara online di laman web KPM. Syarat-syarat kemasukan adalah seperti berikut :

SYARAT-SYARAT AM :-

  • Mewakili negara/berpotensi mewakili negara.
  • Telah menduduki peperiksaan SPM dan lulus dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia.
  • Umur tidak melebihi 20 tahun pada tarikh pendaftaran tahun kemasukan.
  • Aktif dalam bidang sukan yang diceburi secara berterusan dan diiktiraf Majlis Sukan Negara dan persatuan sukan kebangsaan.
  • Lulus temuduga oleh jawatankuasa pemilihan jika diperlukan.

SYARAT-SYARAT KHAS :

  1. ALIRAN SAINS
    1. Sekurang-kurangnya mendapat kepujian dalam mata pelajaran Matematik Moden dan
    2. Sekurang-kurangnya mendapat kepujian dalam mata pelajaran Matematik Moden dan
      1. Biologi
      2. Fizik
      3. Kimia
      4. Matematik Tambahan
      5. Teknologi Maklumat
      6. Perdagangan
      7. Ekonomi Asas
      8. Prinsip Akaun
      9. Bahasa Inggeris
      10. Lukisan Kejuruteraan
      11. Rekacipta
      12. Teknologi Kejurutera
  2. ALIRAN SASTERA IKHTISAS
    1. Sekurang-kurangnya lulus dalam Matematik Moden dan
    2. Lulus 2 mata pelajaran berikut :
      1. Perdagangan
      2. Ekonomi Asas
      3. Prinsip Akaun
      4. Bahasa Inggeris
      5. Lukisan Kejuruteraan
      6. Rekacipta
      7. Teknologi Kejuruteraan
      8. Sains Tambahan
      9. Teknologi Maklumat
      10. Biologi
      11. Fizik
      12. Kimia
      13. Sains Sukan

JUMLAH SEKOLAH SUKAN MALAYSIA

Sekarang ini SSM ada 2 sahaja iaitu :

1. Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ)
Kompleks Sukan Negara
57000 Kuala Lumpur
Tel : 03-90587335
Faks : 03-90587153
Kod Sekolah : WEA 0230

2. Sekolah Sukan Bandar Penawar
81900 Kota Tinggi
Johor
Tel : 07-8223027
Faks : 07-8223028
Kod Sekolah : JEA 3015

JENIS SUKAN DI SEKOLAH SUKAN MALAYSIA

BIL. JENIS SUKAN SSBJ SSBP
1 Badminton
2 Bola Jaring
3 Bola Sepak
4 Bola Tampar Lelaki
5 Bola Tampar Perempuan
6 Gimnastik Artistic
7 Gimrama
8 Golf
9 Hoki Lelaki
10 Hoki Perempuan
11 Judo
12 Karate
13 Kriket
14 Lawan Pedang
15 Lumba Basikal
16 Memanah
17 Menembak
18 Olahraga
19 Ragbi
20 Renang
21 Renang Berirama
BIL. JENIS SUKAN SSBJ SSBP
22 Sepak Takraw
23 Squasy
24 Tenis
25 Tenpin Boling
26 Teriun
27 Wushu