DIKTATOR YANG IRONI

1486546_832705586801253_4836987333293456069_n
Diktator. Kuku Besi. Gila Kuasa. Inilah antara gelaran yang sering digunakan oleh pengkritik-pengkritik Tun Dr Mahathir bagi membuat rumusan mengenai insan ini. Hanya kerana beliau memerintah selama 22 tahun, memenangi 5 pilihanraya umum dengan majoriti 2/3 dan menjadi Perdana Menteri Malaysia yang paling lama, maka label-label sebegini digunakan.Wajarkah gelaran tersebut?

Sebelum itu, siapakah diktator? Secara umumnya, diktator adalah seorang pemimpin yang enggan melepaskan kuasanya walaupun sudah tidak popular, menekan seteru politiknya dengan pelbagai ancaman seperti saman dan penjara, menindas rakyatnya dengan menafikan pengagihan kekayaan negara kepada mereka serta mendiskriminasi, menyekat sebarang gerakan awam dan menapis segala bentuk maklumat kepada awam.

Pertama sekali perkara yang gagal difahami oleh pengkritik Tun Dr Mahathir adalah beliau tidak pernah mempamerkan dan meletakkan dirinya sebagai seorang yang demokratik sebagaimana sesetengah ahli politik yang menjadikan demokrasi, hak asasi, liberalism sebagai modal politik. Sebaliknya Tun adalah seorang yang pragmatik di mana beliau mengamalkan sesetengah elemen demokrasi yang dirasakan berkesan dalam membangunkan negara.

Namun begitu, ini tidak bermakna beliau adalah seorang diktator kerana bagi seseorang yang tidak pernah ‘menjual’ dirinya sebagai pejuang hak asasi dan pendekar demokrasi, apa yang beliau lakukan sepanjang 22 tahun adalah sangat ironi bagi seorang diktator.

Dalam politik, ‘diktator’ inilah yang telah hampir kalah di dalam pemilihan parti 1988 walaupun mendapat pencalonan terbanyak daripada bahagian. Apabila pencabarnya meninggalkan parti dengan mewujudkan parti baru iaitu Semangat 46, parti tersebut tidak dihalang untuk bertanding menentang beliau. Dan apabila parti serpihan itu telah kalah, pemimpin-pemimpin dan ahli parti tersebut telah diajak menyertai parti asal mereka, iaitu UMNO yang dipimpin oleh Tun Dr Mahathir. Untuk melengkapkan ironi seorang diktator ini, bukan sahaja mereka ini diberi peluang memasuki semula parti, tetapi turut diberikan jawatan-jawatan penting baik di dalam parti mahupun kerajaan. Beberapa pemimpin parti serpihan itu dibawa masuk ke dalam kabinet dan seorang daripadanya dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri yang seterusnya dipilih untuk menggantikan diktator Tun Dr Mahathir.

Kemungkinan ketika itu Tun tidak mengetahui amalan diktator-diktator di negara lain yang kebiasaannya melantik anak atau ahli keluarga mereka sebagai pengganti. Barangkali juga diktator-diktator ini tidak memberitahu Tun supaya menarik balik larangan beliau yang tidak membenarkan ahli keluarganya untuk aktif di dalam politik. Boleh jadi juga Tun telah diberikan nasihat yang salah oleh penasihat-penasihatnya maka dengan itu beliau telah memberikan kebenaran anak-anak ahli politik yang lain termasuk seteru politik beliau untuk bergiat aktif di dalam politik.

Sungguh sayang bagi seorang diktator ini kerana keluarganya tidak seperti keluarga Kennedy, Castro atau keluarga Razak yang begitu dikenali sebagai keluarga yang berpengaruh dan dihormati di dalam arena politik negara. Keluarga Mahathir? Hanya selepas beliau tidak menjadi Perdana Menteri barulah anak beliau dibenarkan untuk bergiat aktif.

Bagaimana pula polisi dan dasar sepanjang pemerintahan Tun Dr Mahathir? Ia adalah perkara biasa untuk seorang diktator mengawal mahkamah dan polis. Tetapi ia adalah di luar kebiasaan bagi mahkamah untuk mengharamkan parti politik Perdana Menteri. Lebih-lebih lagi Perdana Menteri ketika itu adalah seorang pemerintah kuku besi. Jika di negara kuku besi yang lain, kemungkinan hakim tersebut terpaksa berhijrah ke negara jiran dan menulis memoir bagi menampung kehidupan. Sebaliknya di Malaysia, hakim tersebut telah dinaikkan pangkat menjadi hakim persekutuan.

Di dalam kontroversi Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abbas, beliau ingin digantikan bukan kerana Perdana Menteri ketika itu tidak boleh mengawal beliau. Sebaliknya beliau telah berkelakuan biadap dengan menulis surat kepada semua raja-raja berkenaan dengan bunyi bising kerja pengubahsuaian rumah Yang DiPertuan Agong. Oleh itu Agong sebagai ketua negara yang mempunyai kuasa mutlak terhadap kehakiman telah mengarahkan Perdana menteri untuk menggantikan Ketua Hakim ini.

Oleh itu, diktator ini telah bersusah payah mewujudkan tribunal, memanggil ketua-ketua hakim dari luar negara (yang sememangnya mudah dirasuah) dan seterusnya membicarakan ketua hakim tersebut. Bukankah lebih mudah jika ketua hakim itu diculik, hilang tanpa dikesan atau dibuang ke laut sebagaimana amalan diktator di negara lain? Bukan sahaja terpaksa bersusah payah, bahkan ketua hakim tersebut telah bertanding di dalam pilihanraya kawasan Lembah Pantai pada 1995 menentang calon parti politik diktator ini tanpa sebarang sekatan.

Pada 1998, apabila Timbalan Perdana Menteri kepada Tun Dr Mahathir yang popular ini dipecat dan didakwa atas salah laku, mahkamah telah dilabel sebagai mahkamah kangaroo. Sama ada kangaroo pernah dihadapkan ke mahkamah dan mengawal keputusan hakim tidaklah begitu aneh. Tetapi yang menjadi keanehan adalah mahkamah yang sama telah membebaskan timbalan tersebut, bukan sekali malah dua kali bagi tuduhan yang sama.

Mungkin pengkritik berkata pembebasan itu hanya selepas diktator bernama Tun Dr Mahathir sudah tidak lagi di dalam kerajaan. Benar. Tetapi bukankah hairan lagi ajaib bagi seorang diktator yang pengaruhnya dikatakan melangkaui setiap badan kerajaan, perundangan dan penguatkuasaan tetapi pengaruh tersebut sudah hilang hanya kurang setahun sejak dari persaraannya? Tidak logik bagi seorang Perdana Menteri baru yang dipilih oleh diktator sendiri untuk bertindak bertentangan dengan keinginan bekas diktator dengan membebaskan mahkamah dari cengkaman pemerintahan.

Kemuncak daripada segala macam dasar yang diperkenalkan adalah apabila Tun Dr Mahathir memberi jaminan untuk tidak mengawal kebebasan internet di Malaysia. Hanya 15 tahun selepas memberi jaminan tersebut dan apabila sudah tidak lagi menjadi berkuasa barulah beliau mahukan internet disekat. Kemungkinan diktator ini mahukan rakyat Malaysia menggunakan medium tersebut bagi mengkritik, menghina serta menanam kebencian orang ramai terhadap dirinya selepas beliau bersara. Ironinya lagi seklafi adalah diktator ini mungkin terlupa untuk menyaman dan mengheret pengkritiknya di internet ke mahkamah bagi segala komentar dan artikel yang berbaur fitnah. Bukankah mahkamah kangaroo tersedia untuk menurut kemahuannya bagi menghukum mereka yang tidak sependapat dengan dirinya?

Napoleon Bonaparte- diktator Perancis menghabiskan hidupnya di Selatan Italy. Idi Amin bersara di Libya dan Arab Saudi. Shah Iran lari ke Mesir, Morocco dan Amerika Syarikat. Ferdinand Marcos tidak tinggal di Filipina selepas bersara sebaliknya menetap di Hawaii. Kesimpulannya kebanyakan diktator menghabiskan saat akhir hidup mereka dengan menetap di luar negara. Ada kerana pilihan sendiri dan ada juga yang terpaksa berbuat demikian kerana bimbang akan keselamatan diri mereka di negara sendiri. Akan tetapi Tun Dr Mahathir memilih tinggal di Malaysia dan bebas berulang alik ke pejabatnya di Putrajaya, KLCC dan Proton tanpa perlu dikawal rapi. Mengapa diktator ini tidak berasa takut atau bimbang akan keselamatan dirinya? Bukankah adalah nrmal bagi seorang diktator untuk hidup dalam ketakutan dan diburu oleh musuhnya?

Jika masih ada lagi yang berpendapat bekas Perdana Menteri Malaysia keempat ini seorang diktator, mereka wajib sedar akan hakikat bahawa diktator inilah yang mungkin adalah diktator yang pertama di dunia yang meletakkan jawatan ketika berada di kemuncak kuasa dan populariti.

Mat Rodi

copyright  by hazis wordpress.

 

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s