DATO KAMARUDDIN MERANUN

Minat, usaha berterusan dan semangat berkumpulan adalah di antara sifat-sifat nyata pada diri Datuk Kamarudin Meranun, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia.

Beliau lebih dikenali sebagai pengasas bersama Datuk Seri Anthony Fernandes bagi kumpulan konglomerat Tune Group Sdn Bhd, di antaranya merupakan pemilik bagi jenama syarikat penerbangan AirAsia, Tune Hotels, AirAsia X dan pasukan pelumba Formula One, Lotus Racing.

Beliau berpendapat bahawa kunci kepada kejayaan perkongsian perniagaan di antara dirinya dan Fernandes banyak bergantung kepada sifat dan sikap diri mereka yang melengkapi satu sama lain.

Berbekalkan latarbelakang pendidikan dalam bidang Sains Aktuari dan Pelaburan Kewangan, Kamarudin amat menggemari kerjaya dibelakang tabir yang berkaitan pengurusan kewangan dan dana.

“Kepakaran Tony menguruskan penjenamaan, hubungan media dan segala urusan berkaitan publisiti membolehkan saya memberikan tumpuan kepada keperluan ini bagi perniagaan kami. Kami berdua amat meminati perniagaan, tetapi di landasan yang berbeza, ”ujar beliau.

Sememangnya konsep penjenamaan AirAsia dilihat antara resipi kejayaan syarikat tersebut, dan diambil serius oleh setiap ahli AirAsia.

Kamarudin sendiri begitu santai mengenakan kemeja merah berpetak dan bertopi jenama AirAsia serta berseluar jeans sewaktu ditemui di majlis menghargai penumpang ke -100 juta di sebuah kelab di Bandar Damansara Perdana.

Di sebalik pengiktirafan beliau sebagai orang ke 21 terkaya di Malaysia, tidak ramai yang menyedari sifat merendah diri beliau, serta prinsip hidupnya yang mementingkan kekayaan spiritual.

Beliau juga adalah seorang yang mudah mesra dengan semua lapisan masyarakat, sentiasa ceria, serta berfikiran terbuka apabila sesebuah topik perbualan diketengahkan untuk perbincangan.

“Apa yang saya maksudkan dengan kekayaan spiritual merangkumi lebih dari ibadat. Ia menyentuh prinsip hidup, dan saya percaya bahawa qada dan qadar telah ditetapkan, dan pada masa yang sama kita di unjurkan untuk terus berikhtiar bagi apa yang diinginkan.

“Di akhirnya, apa juga hasil yang terlihat hendaklah kita reda kerana Tuhan lebih mengetahui yang terbaik untuk kita,” jelas Kamarudin.

Inspirasi bagi Kamarudin datang dari pelbagai sudut dalam kehidupan beliau. Sebagai seorang yang gemar membaca, beliau belajar dari pemikir-pemikir strategik melalui buku-buku autobiografi mereka.

Beliau mendapat inspirasi juga dari setiap individu yang bersikap ikhlas, amanah dan kuat berusaha. Tambah beliau lagi, “Tiada yang lebih sempurna sebagai inspirasi melainkan Nabi Muhammad SAW ” ujarnya.

Bercerita lanjut, anak kelahiran Jalan Raja Mahmud, Kampung Baru ini pernah bersekolah rendah di Gurney Road sebelum melanjutkan pelajaran di Maktab Rendah Sains Mara Kuantan.

Beliau mengakui sikap suka untuk mempelajari perkara-perkara baru telah sebati dengan dirinya sejak kecil.

Kamarudin percaya setiap detik yang digunakan untuk ‘bermain’ semasa membesar adalah amat penting bagi setiap insan, kerana bukan sahaja ia membentuk sahsiah seseorang melalui pendedahan dan pembelajaran yang didapati dari sesuatu pengalaman tersebut, bahkan kerana masa tidak akan berulang, ia akan menjadi memori yang amat dihargai apabila seseorang itu semakin dewasa.

Hobi bagi Kamarudin adalah minat yang dibuat secara serius dan memberi impak yang mendalam dalam hidupnya. Salah satu hobi beliau yang telah membawa kepada perniagaan ialah muzik.

Sebelum beliau menumpukan perhatiannya kepada Tune Group, beliau pernah menjadi rakan kongsi dalam Roslan Aziz Productions.

Secara terbuka beliau mengakui sangat berminat dengan kegiatan sukan seperti bermain bolasepak, hoki, tenis, renang dan sebagainya.

Malah sewaktu beliau bakal melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat pada tahun 1984, beliau telah membawa bersama pelbagai alatan sukan seperti raket badminton, pingpong, kayu hoki dan kasut sukannya sehinggakan arwah ibunya ketika itu bertanya adakah beliau mahu pergi belajar atau ke Olimpik.

Namun kerana ketiadaan masa lapang yang mencukupi, kini beliau hanya sempat menghadiri beberapa pertandingan sukan yang diadakan oleh rakan-rakannya.

Di samping hobi lasak, beliau turut meminati permainan Indoor seperti catur dan pelbagai board game. Nyata hobi ini paling mempengaruhi beliau dari segi kerjayanya dalam bidang pengurusan kewangan dan mendirikan perniagaan.

Impak

“ Bagi saya menjalankan perniagaan, membuat keuntungan dan melebarkan perniagaan adalah umpama bermain board games seperti Monopoly dan lain-lain yang melibatkan pemikiran dan strategi urusniaga. Bezanya risiko yang dihadapi mempunyai impak sebenar dimana kesilapan akan melibatkan kos sebenar. Hobi saya telah berubah menjadi kerjaya,” jelasnya.

Bagi beliau, membuat sesuatu yang kita minati sebagai kerjaya adalah sesuatu yang menyeronokkan. Katanya, kita akan sentiasa membuat penambahbaikan dan menjalankan segala usaha dengan sepenuh hati dan teliti.

“Kita gembira apabila berjaya kerana ia memenuhi cita-cita kita, dan apabila cabaran datang melanda, kita akan menghadapinya dengan sebaik mungkin. Apabila kita menganggap kerja dan ibadah seperti hobi yang menenangkan kita, maka kita akan lakukan dalam keadaan tenang dan ikhlas,” kata bapa kepada lima orang anak ini.

Didalam membahagikan masa bagi ketiga-tiga bahagian hidupnya – diri sendiri, keluarga dan kerja – beliau menceritakan peristiwa yang menjadi detik penyedaran yang membuat beliau mengambil berat mengatur masa beliau terutama terhadap keluarganya.

Menurut beliau, ketika anak lelakinya yang berumur 6 tahun bermain dirumah jiran, dia ditegur oleh jiran supaya jangan nakal.

“Jika tidak, saya akan adukan kepada bapa kamu,” kata jirannya. Namun anaknya menjawab ” cubalah beritahu ayah kalau boleh berjumpa dengannya. Saya sendiri pun tak jumpa ayah walau tinggal serumah,” kata anaknya.

Sejak peristiwa itu, beliau mengambil berat dalam mengimbangkan waktu antara kerja dan keluarga.

Kini, seboleh mungkin beliau akan membawa keluarga bersama walaupun atas urusan kerja di luar negara bagi sekurang-kurangnya menghabiskan masa bersama.

Ada kalanya beliau akan berkompromi mengikut jadual anak-anaknya dan turut membawa rakan-rakan mereka menghabiskan masa bersama beliau dan ahli keluarga yang lain.

“Jika saya keluar negara saya akan bawa keluarga bersama jika mengizinkan dan tempat percutian yang paling saya gemari adalah Istanbul kerana kota itu penuh dengan keunikan sejarah, budaya dan ia juga sebuah negara Islam yang memudahkan urusan kami dalam soal makanan,” kata lelaki berusia 49 tahun ini.

Satu lagi perkara yang jelas tentangnya ialah Kamarudin mahu diingati sebagai seseorang yang memberikan impak positif kepada setiap orang yang ditemuinya.

“Saya merasakan hidup sebagai satu amanah dan bagi saya adalah perlu untuk meneruskan perniagaan kerana sekurang- kurangnya usaha ini dapat mewujudkan berbagai peluang terutama peluang kerja.

“Saya percaya ini adalah tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah SWT kepada setiap manusia untuk menggunakan usaha dan tenaganya ke jalan yang boleh membantu sesama insan.” kata Kamarudin.

di petik dari utusan

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s